Headlines
Published On: Sunday, August 21, 2011
Posted by Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan

RISALAH BAGI HATI –HATI YANG MERINDUKAN RAMADHAN N PENGAMPUNAN ALLAH ~ part 4 ~

Ijtihad

 
Rasulullah s.a.w. mendirikan Solat Tarawih lapan rakaat bersama jemaah, namun lapan rakaat Nabi dihiasi dengan bacaan al-Quran yang merdu dan menusuk kalbu. Tidak terasa penat walaupun dibaca surah yang panjang. Di sini ada kualiti semasa menunaikan Tarawih. Umar al-Khattab pula menggesa umat Islam melaksanakan Tarawih di masjid sebanyak 20 rakaat.
Tindakan beliau adalah ijtihad sebagai seorang sahabat Nabi, faqih dan Khulafa ar-Rasyidin yang menilai tuntutan semasa umat Islam pada waktu itu. Penduduk Madinah pula berijtihad untuk melaksanakan Tarawih lebih daripada 20 rakaat termasuk witir dan diselangi dengan selawat ke atas Rasulullah s.a.w. Kepelbagaian dalam menentukan bilangan rakaat itu sendiri adalah perkara khilafiah dan keluasan yang diizinkan berlaku bagi memudahkan pelaksanaan ibadah.
Yang paling utama bukan bilangan rakaatnya, tetapi yang lebih utama adakah solat itu mendapat ketenteraman hati dan taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Ad-Din itu mudah, tidak ada seseorang yang menyusah-nyusahkan pelaksanaan ad-Din itu, pasti ia kecundang jua. Sabda Baginda juga yang mahfumnya: Permudahkan, jangan menyusahkan, dekatkan, jangan melarikan orang daripada agama, berikan khabar gembira, jangan menakut-nakutkan dan jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara. Alangkah indahnya jika umat Islam hari ini memahami pelaksanaan Islam sebagaimana yang diajar oleh Baginda s.a.w.
Solat Tarawih ialah suatu fenomena, namun ia mungkin tidak disedari oleh umat Islam yang biasa mengerjakannya. Tetapi di luar Islam, orang melihatnya sebagai satu fenomena yang menimbulkan kekaguman. Bayangkan, manusia keluar berduyun-duyun dengan sukarela pada waktu malam pada musim panas atau dingin, dan mengerjakan solat di masjid bersama-sama, tua, muda, lelaki, wanita, kanak-kanak dan bercampur baur pelbagai bangsa.
Daripada satu kajian ringkas, tokoh dari luar mengakui ia adalah keistimewaan dan kekuatan yang amat mereka perlukan dan tidak ada dalam mana-mana agama di dunia. Adakah kita menyedari keistimewaan ini? Ia adalah kekuatan yang sedia ada di dalam agama. Justeru, kebaikan ini perlulah disedari dan disebarkan. Kesedaran ini juga menggerakkan kita untuk menjadikan remaja harus membina suatu tekad yang tinggi bahawa kita dilahirkan ke dunia bukan untuk menjadi beban, sebaliknya kita dilahirkan untuk menyumbang. Solat Tarawih sebagai wasilah (perantara) untuk memupuk ikatan persaudaraan umat Islam pada zaman ini.
Solat Tarawih di Masjidil Haram dan Masjid an- Nabawi mempunyai keindahannya tersendiri yang sukar dilafazkan. Solat Tarawih dengan ribuan jemaah adalah pemandangan biasa bagi beberapa negara seperti Mesir, Turki, Pakistan dan negara umat Islam yang lain. Kemerduan suara imam juga mempunyai kesan yang menarik manusia untuk Solat Tarawih. Atas dasar itulah, maka negara kita membawa masuk imam dari luar negara yang mempunyai bacaan yang baik untuk mengimamkan Solat Tarawih. Di sesetengah tempat pula ada yang melantik kanak-kanak yang masih kecil tetapi hafaz al-Quran untuk menjadi imam. Ia adalah perkembangan yang baik.
Namun. Kita perlu juga diingatkan kepada beberapa perkara asas dalam Solat Tarawih ini. Ia jangan pula menjadi budaya yang dimestikan hingga timbul keadaan menyusahkan kemudian hari. Di antaranya kriteria imam yang dipilih itu hendaklah fakih, iaitu seorang yang berilmu dan memahami selok belok solat. Suara yang bagus duduk kepada perkara yang kedua. Imam yang mempunyai kedua-dua ciri tersebut adalah lebih diutamakan. Kedua, selain membawa imam yang baik dari luar, kita juga harus membina imam Solat Tarawih yang mempunyai kualiti yang setanding dan sebaik imam dari Asia Barat. Negara kita yang sentiasa melahirkan qari antarabangsa tidak sunyi daripada individu yang boleh digilap bakatnya ke peringkat yang sewajarnya.

Semoga Solat Tarawih dan ibadah yang lain tahun ini dapat dijalani dengan penuh kesedaran. Jika ini diamalkan. Tidak mustahil Ramadan kali ini akan meningkatkan taqwa dalam diri, dengan izin Allah s.w.t. Wallahu A'lam

by : UDT KMKJ 2010

About the Author

Posted by Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan on 1:52:00 AM . Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 . Feel free to leave a response

By Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan on 1:52:00 AM . Filed under , . Follow any responses to the RSS 2.0 . Leave a response

0 cadangan dan kritikan membina for " RISALAH BAGI HATI –HATI YANG MERINDUKAN RAMADHAN N PENGAMPUNAN ALLAH ~ part 4 ~ "

Post a Comment

Tv Kmkj

    Blog Archive