Headlines

Permusafiran -dari Biro Dakwah dan Tarbiah

Posted by Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan | Wednesday, January 27, 2010 | Posted in ,





PERMUSAFIRAN….

Dalam kesibukan sahabat-sahabat merancang untuk cuti-cuti Jordan setelah berpenat lelah berhempas pulas dalam imtihan yang baru sahaja berakhir ini, marilah kita sama-sama merenung serta berfikir sejenak mengenai permusafiran yang bakal dilalui ini. Apa niat dan tujuan kepergian sahabat-sahabat? Jika niat kepergian sahabat-sahabat adalah baik maka khabar gembira untuk sahabat-sahabat dengan sabda Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa sallam , mafhumnya:

“Barangsiapa yang berkeinginan untuk melakukan suatu kebaikan namun belum sempat menunaikannya maka Allah mencatat untuknya satu kebaikan yang utuh.” (HR Al Bukhari).


Sekiranya yang sahabat-sahabat niatkan bukan untuk kebaikan maka hendaklah berhati-hati dan waspada, karana Nabi s.aw telah menjelaskan bahawa dunia ini untuk empat golongan :

Pertama, hamba yang diberi oleh Allah harta dan ilmu lalu ia berhati-hati dan bertakwa kepada Rabbnya, menyambung silaturahim dan ia tahu bahawa Allah memiliki hak ke atasnya, dan inilah kedudukan termulia bagi seorang hamba.

Kedua, hamba yang diberi oleh Allah ilmu namun tidak mendapat limpahan rezeki, namun ia punya niat yang benar dengan mengatakan: “Jika Allah memberiku harta maka akan kugunakan untuk amal kebaikan sebagaimana si fulan", maka dia mendapat pahala sebagaimana orang yang pertama.

Ketiga, hamba yang diberi limpahan rezeki oleh Allah tetapi ia tidak mendapatkan ilmu sehingga ia menghabiskan hartanya dengan tanpa ilmu dan tidak bertakwa kepada Rabbnya, tidak mau menyambung silaturahim dan tidak tahu bahawa Allah memiliki hak ke atas hartanya, maka inilah kedudukan terburuk bagi seorang hamba.

Keempat, hamba yang tidak diberi oleh Allah harta mahupun ilmu, ia mengatakan: “Andaikan aku kaya seperti si fulan maka aku akan (berfoya-foya) seperti yang ia kerjakan, sedangkan dia tetap dalam niatnya maka dosa keduanya adalah sama.



TUNTUTAN BERMUSAFIR

1. Musafir untuk mencari pengalaman dan kematangan hidup.

2. Musafir untuk menunaikan haji.

3. Musafir untuk jihad fii sabilillah.

4. Musafir untuk mencari rezeki atau menyambung kehidupan.

5. Musafir untuk menjalankan urusan perniagaan.

6. Musafir untuk menuntut ilmu dan menambahkan thaqafah.

7. Musafir untuk menziarahi sahabat semata-mata kerana Allah SWT.



Jenis-jenis safar


Bermusafir atau safar terbahagi kepada tiga jenis:

· Safar yang terpuji

Ia adalah wajib seperti pergi haji bagi yang mampu, belajar menuntut ilmu, keluar dari negeri kafir menuju negeri muslim dan lain-lain. Mungkin juga ia adalah mustahab (dianjurkan) seperti mengunjungi kerabat dan orang alim atau sesuatu yang mubah seperti untuk urusan kerja agar kehendaknya terlaksana.

· Safar yang dibenci (makruh)

Seperti keluar dari suatu negeri yang sedang diserang musibah.

· Safar yang tercela dan dilarang

Pergi bermusafir dalam keadaan menderhakai orang tua atau bepergian untuk tujuan jahat dan kerusakan.
Ada seorang alim ditanya tentang musafir yang paling utama, maka beliau menjawab: “iaitu yang paling membantu dalam urusan agama (ketaatan)."



Siapakah teman Anda dalam bermusafir?

Sendirian dalam bermusafir merupakan perkara yang tercela dan dibenci, kerana keadaan ini berbahaya untuk urusan agama maupun dunia seperti terhalang-nya untuk solat jamaah, munculnya perasaan gelisah dan kesal, kemungkinan bahaya, dan rasa sepi kerana tanpa teman.

Dalam hal memilih teman, Nabi s.a.w telah memberikan gambaran yang jelas yaitu dengan hadisnya yang bermaksud : “Perumpamaan teman duduk yang baik dan yang buruk diumpamakan seperti penjual minyak wangi dengan peniup pande besi.” (Muttafaq alaih)

Safar ke negara bukan Islam


Katakanlah: "Mengembaralah kamu di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang telah lalu (yang telah dibinasakan); kebanyakan mereka adalah orang-orang musyrik".( Surah ar-Rum, ayat 42)

Terdapat berbagai pendapat ulama yang membahaskan hukum bermusafir ke negara bukan Islam. Oleh itu, keharusan bermusafir itu terletak kepada tujuan seseorang itu bermusafir.

Menurut Syaikh Abdur Rahman Al Jibrin jika tujuannya hanya sekadar temasya (bersuka-ria) merupakan hal yang dibenci agama dan tidak sepantasnya dilakukan kerana banyak fitnah dan bahayanya.

Sedangkan jika untuk tujuan dakwah, ta'lim, menyebarkan agama dan nasihat merupakan perkara mustahab (disukai dan dianjurkan) dan pelakunya akan memperoleh pahala karena telah menampakkan syi’ar Islam dan ketinggiannya.

Adapun untuk urusan perdagangan dan bisnes maka ia mubah dengan syarat mampu memperlihatkan identiti keislamannya, berpegang teguh dengan ajaran Islam.

Jika tidak mampu komitmen dengan ketentuan tersebut bahkan terbawa arus seperti mengikuti adat dan budaya orang kafir, meninggalkan salat jamaah (padahal rombongan), dan terkesan terhadap kekufuran, kemusyrikan maupun kemungkaran kerana ketidakberdayaan, maka yang demikian hukumnya menjadi haram walaupun untuk tujuan berdagang.



Tempat-tempat musafir yang seharusnya dihindari

Cubalah kita tanya diri kita tentang tempat-tempat dilawati tersebut:

· Adakah didalam tempat-tempat tersebut wajah-wajah sejuk dan indah yang dapat mengingatkan kita kepada Allah?

· Apakah kita senang jika kematian menjemput sedangkan kita berada dalam tempat tersebut?Bukankah banyak tempat maksiat yang mendadak terbakar dan menelan korban, terjadi ribut dan perkelahian dan sebagainya?

· Apakah jika anak-anak kita memasukinya dia disana akan belajar birul walidain dan adab kepada orang tua?

· Apakah ditempat-tampat tersebut diajarkan keluhuran budi dan akhlak yang baik?

· Apakah kita senang jika dalam lembaran amal kita tertulis bahwa dulu semasa didunia kita sering memasuki tempat-tempat itu? Jangan lupa bahwa dikanan kiri kita ada malaikat yang mencatat seluruh amal perbuatan yang kita lakukan.



Sahabat-sahabat sekalian,


Moga-moga permusafiran kita ini membuahkan sejuta keredhaan dari ALLAH swt serta melindungi hati-hati kita daripada memberi kesan kepada individu muslim,keluarga muslim,masyarakat muslim serta ISLAM itu sendiri.


Selamat bermusafir….kutiplah jutaan mutiara-mutiara ilmu serta sejarah-sejarah ISLAM daripda sesebuah Negara yang sahabat-sahabat kunjungi, moga-moga dapat disampaikan kepada sahabat-sahabat yang belum ada rezeki untuk berkepergiannya lagi..:)..





Biro Dakwah dan Tarbiah 09/10

Exam..oh..exam- Biro Akademik dan Pembangunan Minda

Posted by Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan | Thursday, January 14, 2010 | Posted in ,



EXAM OOOO EXAM…
Pernah mengalami kegagalan?? Pernah cuba untuk bangkit tapi tak pernah-pernah Berjaya?? Pernah tak fikir untuk ape kita Berjaya??

Inginkan kata-kata motivasi yang pasti melekat dihati??..jeng3..
Jangan berlengah

Jom,baca artikel ni…




"While people sleep, we work. While people work, we work ahead," Saya tidak akan lupa kata-kata itu.


Ianya terucap kira-kira 15 tahun lalu oleh pengetua kolej Mr. PMS Jassal ketika saya menekuni pengajian A-Level, jurusan undang-undang di Juara Academy College di ibu kota.

Waktu itu, saya adalah pelajar Melayu tunggal dan 'tunggul' dalam kelas seramai 30 orang itu. Berkecamuk fikiran pada hari pertama saya mendaftar. Masakan tidak, sudahlah 'solo' ditambah pula dengan 'sepatah haram' saya tidak memahami apa yang diajar.


Bukan sehari tetapi berjangkit sehingga lebih sebulan!


Tidak cukup dengan itu, saya sering menjadi bahan ketawa rakan-rakan sekelas dan pensyarah lantaran kegagalan saya untuk membuat 'presentation' jauh sekali untuk mendapat tempat teratas dalam carta kelas.


Lebih menambahkan pedih dan pilu di jiwa, apabila seorang pelajar yang selalu dianggap 'best student' dalam kelas mencabar sambil menghunuskan jari telunjuknya tepat ke muka saya. "At the end of the day, nobody can touch me, especially you!" katanya pada saya, terkelipot-kelipot malu.

Seorang pelajar wanita pula, bertaruh untuk menjamu saya makan di hotel lima bintang, sekiranya berjaya mendapat keputusan cemerlang.

Saya percaya, dia berani bertaruh kerana yakin yang saya tidak akan menggapai bintang. Betul-betul menghinakan.


Kawan-kawan seperti Manoj Kumar, Manimaran, Azman Sagau dan Ronnie menenangkan saya. Mereka memberi perangsang dan selalu membantu, apa yang saya tidak tahu.

Setelah enam bulan berlalu di kolej itu, saya sering bertemu dengan pensyarah Baljit Singh Sidhu untuk mendapat 'evaluation' atau penilaian ke atas prestasi pengajian saya selama ini dan seperti yang dijangkakan jawapannya cukup mendukacitakan.


"Aaa...don't worry. Bottom line, you boleh pass...," katanya tergesa-gesa. Sedih. Bukannya pangkat A, B atau C tetapi sekadar lulus cukup makan sahaja..

Suatu malam, ketika gelisah untuk melelapkan mata dan merawang masa depan yang kabur, tertangkap kalimah kudus dari ibu tercinta sebagai kata-kata azimat ketika menjejak kaki di ibu kota untuk menuntut ilmu.

"Mak tak boleh tengok dan jaga anak mak setiap masa. Mintalah Allah supaya jaga dan selamatkan anak mak. Jika susah, mintalah pada Allah, pasti Dia perkenankan. Percayalah..." kata Azizah Jasin, ibu tercinta kepada saya sambil memetik bait-bait ayat kalimah tuhan.

"Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu." (Surah Ghafir ayat 60)




Saya bingkas, lalu mengerjakan solat dua rakaat. Tewas, akhirnya air mata basah di hujung sejadah.

Mulai hari itu, saya tidak menoleh lagi. Saya berusaha sedaya dan sekuat mungkin. Kamus sentiasa di sisi, tiap kali saya membuka buku. Buku seperti English Legal System, Constitutional Law, Jurisprudence setiap helaiannya saya ulangi sampai lapan kali!

Malah, saya hantar tugasan-tugasan dan 'asignment' sendiri berkajang-kajang kepada pensyarah untuk disemak, bertanya soalan-soalan bertubi-tubi sehingga kelihatan 'membosankan' bagi mereka.

Saya kemudian beranikan diri bercakap di khalayak, walaupun 'broken English.' "Apa nak malu, janji saya maju. Biar mereka ketawa atau sendawa, janji saya berjaya," getus hati cuba menceriakan hari.

Waktu itu, barulah saya tahu, doa dan kerja keras (rajin, usaha) adalah pembuka jalan kejayaan. Mungkin ini ayat 'cliche' atau 'stereotype'. Hakikatnya hidup ini tidak ada yang 'short cut'.

Selepas doa itu, setiap apa yang saya pelajari, hafal dan faham datang dengan begitu mudah. Dikenal ketika senang, dilupa ketika susah "While people sleep, we work. While people work, we work ahead," kata Jassal menepuk-nepuk bahu saya yang kelihatan agak sugul adakalanya.


Dan di saat saya menjalani proses lipat kali ganda usaha, baru saya tahu bahawa kerajinan orang Cina dan orang Putih atau kaum-kaum lain membuatkan mereka berjaya. Bukannya faktor otak Cina lebih baik dari otak Melayu atau otak Orang Putih lebih baik dari semua otak-otak.


"Allah tidak membebankan seseorang itu melainkan mengikut keupayaannya. Baginya apa yang diusahakan dan ke atasnya akibat apa yang diusahakan." (Surah Al-Baqarah: 286)
Begitu juga dengan surah Ar-Ra'ad (ayat 11): "Sesungguhnya Allah tidak akan merubah nasib suatu kaum melainkan kaum itu sendiri yang merubah nasibnya."

Ya, saya yakin doa akan dimakbulkan Tuhan. Usaha gigih dapat balasan setimpal. Tak kira siapa, Melayu, Cina, India dan Mat Salleh juga akan dapat balasan, jika usaha lebih. Bukan masalah otak.

Dulu ketika mengerjakan umrah, saya pernah berdoa yang 'bukan-bukan' di depan Kabaah. Ketika itu, tahun 1990 usia saya menjangkau 16 tahun. Akibat terlalu obses dengan cerita-cerita aneh, mistik dan misteri di Makkah dan Madinah, saya mula memanjatkan doa, untuk melihat bukti kuasa Tuhan.

"Ya Allah, jika benar makbul doa di sini, hilanglah seliparku." Begitu dangkal doa saya dan cuba menguji Tuhan.




Sebelum itu telah saya sorokkan selipar buruk itu di suatu sudut di pintu masuk Masjidil Haram. Ringkaskan cerita, Tuhan makbulkan permintaan saya yang pendek akal itu. Hilang selipar saya, walaupun ianya buruk.

Dan lebih parahkan lagi keadaan, selipar saya hilang setiap kali saya beli yang baru, dan berlanjutan selama enam hari! Mengelabah, pucat dan panik saya dibuatnya.

Saya cuba menyembunyikan peristiwa itu daripada ayah saya, yang mula kehairanan apabila setiap hari, tiap kali pulang daripada masjid meminta 5 ke 10 Riyal (lebih kurang RM 5.00 ke RM10.00). Tujuannya hanya untuk membeli selipar baru.

Pernah sekali, saya berkaki ayam dari Masjidil Haram pulang ke tempat penginapan sambil ditertawakan orang Arab yang lalu lalang. Apa boleh buat, itu balasan Allah, pada saya yang mulut celupar.

Dua hari terakhir di Makkah, saya berteleku di depan Kabaah, memperbaharui doa semula dengan penuh rasa insaf..

Sejak doa itu, selipar saya tidak hilang lagi. Ya, Allah sentiasa selamat dan perkenankan doa saya. Begitu juga yang orang lain. Berusaha dan mintalah, percayalah Allah tidak mengecewakan..

Alhamdullillah, tidak menghampakan apabila Allah kabulkan juga doa saya untuk melintasi peperiksaan A-Level yang diduduki. Walaupun usaha tidak setara mana, tetapi kuasa Allah mengatasi segala-galanya.

Ketika keputusan A-Level diumumkan, saya sedang 'bercuti' dan 'mengaji' di sebuah sekolah pondok di selatan tanahair. Manoj dan Manimaran menghubungi saya melalui telefom awam. Masa itu tidak bercambah lagi, telefon bimbit.



"Congratulations! You and Patricia are the best student in the college. Come drop by, take your exam transcript," ujar Manoj. Barangkali kedua-duanya kini sudah bergelar peguam.

Keesokannya saya sudah terpacak di kolej di Jalan Hang Lekiu, Kuala Lumpur itu untuk mengambil keputusan dan teka apa yang berlaku?

Pensyarah dan pengetua mula mengerumuni. Menawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran dan melahirkan pujian berguni-guni.

Yang menghunus jari telunjuk ke muka, yang bertaruh untuk menjamu selera dan yang gelak ketawakan saya, hilang entah ke mana.

Ya, kita dikenang dan dikenal ketika di puncak. Diapung, diangkat dan dijulang ketika senang. Namun ketika susah, pahit dan payah, siapa pun tidak tahu malah menjarakkan diri, kata benak saya melihat watak-watak yang ada di depan mata.

Biarlah..

Ya, akhirnya bila kita berusaha, berdoa dan bersabar, nescaya Allah perkenankan dan selamatkan kita...percayalah.

"Dan berikanlah berita gembira bagi orang yang bersabar." (Surah al Baqarah ayat 155)


(dipetik dari:http://www.iluvislam.com)

Moga ‘terpukul’ jiwa-jiwa yang membaca agar memasang niat untuk lebih berusaha. =)..orang lain boleh,kita pun bolehkan..insyaAllah

While people sleep, we work,. people work, we work ahead.
sematkanlah kata-kata ni agar semangat kita terus membara..




ikhlas dari kami, Biro Akademik dan Pembangunan Minda(BAPM)

Solat Hajat Nihaie KMKJ-Syabab dan Akhawat Mu'tah

Posted by Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan | Thursday, January 7, 2010 | Posted in




SOLAT HAJAT NIHAIE

KMKJ DAN PUTRA MANTIQAH MU'TAH..


Assalamualaikum...Solat Hajat Nihaie Fasal Awal 2009/2010

Kembali Lagi Menemui Anda..

Jom Sama2 Kita Berdoa Dan Bermunajat Beramai-Ramai...

Insya-Allah Lagi Ramai Lagi Berkat...

Sasaran : Ahli KMKJ Mu'tah (syabab dan akhawat) dan ahli PUTRA Mu'tah

Tempat: Pusat Khidmat Mahasiswa Mu'tah (PUKSMA)

Tatikh: 07012001

Antara slot yang menarik :

· Solat Maghrib Berjemaah

· Solat Hajat

· Ceramah Motivasi

· Solat Isya' Berjemaah

· Jamuan istimewa


Dijemput kepada semua ahli yang berkenaan supaya dapat menghadirkan diri ke majlis solat hajat ini. Semoga keiklhasan kita semua menatijahkan hasil yang baik. Insyaallah.


Salam Imtihan buat semua ahli KMKJ. Bittaufiq wan Najah..

"MAHASISWA BERWAWASAN ISLAM GEMILANG"

SOLAT HAJAT 3 IN 1 - AKHAWAT IRBID

Posted by Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan | Wednesday, January 6, 2010 | Posted in




Khadijah : Aini, tahu tak jumaat ni.. KMKJ ade program solat hajat?


Aini: tahu je.. (sambil mencebik muka)..solat hajat, sorang2 pun boleh.. apesal nak siap2 buat program plak.. kan dah nak exam ni.. aku nak bace buku la...


Khadijah: erm.. Aini, sedar tak dari 24 jam yg kau ade tu.. brape jam je solat hajat KMKJ nak buat tu. Lagipun.. daripada kau solat hajat sorang-sorang, manela tahu dengan solat hajat beramai-ramai, Allah makbulkan doa salah sorang dari kawan kita yang solat hajat time tu...


Aini: ye tak ye jgk.. betul cakap kau.. (dengan reaksi muka yang penuh minat).




Jadi, apa tunggu lagi.....????

Jom beramai-ramai ke

SOLAT HAJAT 3 IN 1

(AKHAWAT IRBID)



1-TAZKIRAH (pentazkirah jemputan khas) nak tahu siapa? jumpa disana......

2-TAYANGAN MOTIVASI (Kita Insan Terpilih)

3-MAKAN-MAKAN VERSI POTLUCK (bila lagi nak serlahkan bakat terpendam..?)

" Hidup akan lebih bermakna dengan memberi "



MASA: 5.30 PM
TEMPAT: TERATAK TUN TEJA (RUMAH ATIQAH MAHASSAN)
TARIKH : 08012010


Semua ahli KMKJ,rasmi dan bersekutu dijemput hadir.
Semoga terjentik hati-hati yang membaca untuk sama-sama memeriahkan majlis..insyaAllah.




p/s: program ini kerjasama KMKJ & PUTRA [akhawat irbid]

Tv Kmkj

    Blog Archive