Headlines

Warkah Jumaat E6 - Rasulullah SAW Kekasih Allah

Posted by Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan | Friday, January 25, 2013 | Posted in , ,




Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan
WARKAH JUMAAT EDISI 6

“RASULULLAH SAW KEKASIH ALLAH”
(25 JANUARI 2013 / 13 RABIUL AWWAL 1434H)


Semalam pada 12 Rabiul Awal setiap tahun adalah hari sambutan Maulidur Rasul yang menjadi salah satu hari kebesaran Islam yang disambut meriah di seluruh dunia. Walaupun Nabi Muhammad SAW telah meninggalkan kita, namun kekasih Allah ini tetap berada di dalam sanubari dan hati umatnya sekiranya kita seorang  hamba yang beriman. Baginda SAW  telah membawa kepada kita risalah Allah dengan dua cara. Pertama, menyampaikan perintah dan panduan Allah SWT melalui wahyu Qur’ani; dan Kedua, menghidupkan wahyu-wahyu Allah dengan sempurna melalui perbuatan, perkataan dan pengakuannya atau apa yang dinamakan sebagai sunnah nabawiyah. Kemuliaan akhlak Rasulullah SAW sebagaimana yang dicerminkan di dalam al-Quran, wajib diambil tauladan secara mutlak dan di taati oleh manusia sepanjang kehidupan ini. Firman Allah SWT di dalam Surah at-Taghaabun, ayat 12:




Maksudnya:“Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasulullah; maka kalau kamu berpaling, maka sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah Allah) dengan jelas nyata.”



Bukti penegasan ‘taat kepada Rasulullah’ ini terdapat di dalam kalimah Lailahaillaah dan Muhammadur Rasulullah yang menunjukkan bahawa Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW  adalah Tuhan dan Nabi kita. Penggunaan kalimah La adalah suatu bentuk perakuan kewujudan tuhan yang dinamakan Allah dan menafikan tuhan-tuhan selain-Nya. Dengan itu, seluruh umat Islam wajib bersatu dan menolak segala bentuk atau konsep tuhan yang lain daripada Allah SWT. Ini merupakan syarat mutlak sahnya kepercayaan kita terhadap adanya Tuhan dalam Islam selain mengarah kepada meng-Esakan Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Ikhlas ayat 1-4:

 



Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang setara dengan-Nya.
 

Yakin dan percayalah, antara agenda yang diberi keutamaan dalam misi Rasulullah SAW menyebarkan Islam ialah dengan memperkasakan akidah ummah. Umat Islam diikat dengan erat melalui konsep tauhid, kiblat yang satu, kitab yang satu, pemimpin yang satu. Namun dalam pada itu, Baginda juga sentiasa diterjah dengan berbagai ancaman musuh Islam yang didalangi oleh orang-orang Yahudi untuk mengkucar-kacirkan pegangan dan fahaman umat Islam. Mereka menggunakan pelbagai pendekatan, diantaranya menggunakan isu agama sebagai alat untuk menghancurkan umat Islam. Mereka menghasut sesetengah umat Islam yang lemah imannya dan hilang intergriti untuk melanggari ajaran al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Mereka juga memperalatkan sebahagian daripada pemimpin yang beragama Islam yang dikaburi oleh keghairahan untuk mendapatkan kuasa. 


Oleh itu, tidak menghairankan ada di kalangan umat Islam pada hari ini yang mengaku beriman dengan Allah dan Rasul-Nya, tetapi pada masa sama telah mentafsir Islam mengikut hawa nafsu. Mereka sanggup melakukan tindak-tanduk mengikut kemahuan sendiri dan akhirnya perbuatan tersebut kelihatan janggal, pelik di khalayak ramai. Besarnya pengaruh nafsu dan peranan syaitan dalam kehidupan ini terbukti apabila mereka tanpa segan silu mengutamakan kepentingan diri, mengutamakan kebendaan walaupun nyata bercanggah dengan al-Quran dan sunnah.


Sedarlah, inilah masanya untuk umat Islam bersatu bagi memelihara kesucian agama Islam dan mempertahankan akidah umat Islam.


Yakinlah, di tangan kitalah letaknya tanggungjawab dan kuasa untuk mempertahankan kesucian agama Islam. Dalam hal ini, umat Islam memerlukan penghayatan Islam secara menyeluruh. Berdasarkan maqasid syariah maka menjadi tanggungjawab setiap umat Islam untuk menjaga lima perkara iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Saya  ingin mengingatkan salah satu prinsip penting yang mesti dilaksanakan oleh umat Islam bagi memastikan kedaulatan agama kekal terpelihara ialah dengan menyeru kepada kebaikan dan menghalang kemungkaran. Allah SWT berfirman di dalam surah al-Hajj ayat 41:




Yang bermaksud:Iaitu mereka yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan perkara yang mungkar. Dan ingatlah bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.


Mengakhiri warkah jumaat pada hari ini, bersempena dengan sambutan Maulidul Rasul, marilah sama sama kita menjana peningkatan dalam penghayatan dan ketaatan dalam melaksanakan ajaran yang di bawa oleh Rasulullah SAW. Marilah sama sama kita mempertahankan dengan segala upaya kemuliaan Rasulullah SAW dari sebarang penghinaan, memberikan penghormatan sewajarnya kepada Rasulullah SAW dalam tindak tanduk kita seharian dan mencontohi akhlak, keperibadian dan teladan yang ditunjukkan oleh Nabi SAW  dalam setiap tindakan.


Untuk itu sama sama kita hayati dan renung-renungkan Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran, ayat 31:


Maksudnya: Katakanlah: Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.



Disediakan oleh : Biro Pembangunan Minda & Rohani KMKJ 2012/2013


[IRBID] Halaqah Delegasi Kerajaan Negeri Kelantan

Posted by Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan | Thursday, January 24, 2013 | Posted in , ,











Warkah Jumaat Edisi 5 - Menjadi Tetamu Allah pada Hari Jumaat

Posted by Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan | Friday, January 18, 2013 | Posted in , ,


Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan
WARKAH JUMAAT EDISI 5

“MENJADI TETAMU ALLAH PADA HARI JUMAAT”
(18 JANUARI 2013 / 6 RABI AL-AWWAL 1434H)

Hari Jumaat adalah penghulu segala hari atau disebut juga sayyidul aiyyam kerana mempunyai kemuliaan dan keistimewaannya di sisi Allah SWT. Bagi umat Islam hari tersebut adalah yang amat berharga dan hari untuk beramal ibadat bagi merebut kelebihan penghulu segala hari. Berdasarkan penjelasan hadith-hadith, hari Jumaat adalah hari pertama kemunculan matahari di dunia, pada hari Jumaatlah Allah SWT telah mencipta  Nabi Adam AS, hari Kiamat akan berlaku dan Allah SWT mengizinkan ahli syurga untuk memasuki syurga. Manakala para malaikat pula menamakan hari Jumaat itu sebagai hari penambahan disebabkan banyaknya pintu-pintu rahmat dibuka di mana Allah SWT akan melimpahkan kurnia-Nya dan menabur segala kebaikan-Nya.

Hakikatnya menjadi tetamu Allah SWT pada penghulu segala hari adalah saat  yang istimewa kerana memberi peluang kepada kita untuk menilai prestasi tahap ketakwaan, membersihkan segala dosa yang dibuat secara sedar atau tidak dalam seminggu ini. Kita perlu sedar dan insaf bahawa walaupun pada zahirnya penampilan diri kelihatan cemerlang tetapi dari segi batin orang-orang yang melakukan perbuatan berdosa seperti rasuah, menzalimi manusia, menganiayai manusia, memfitnah manusia, minum arak, berzina dan sebagainya bagaikan berada di tempat yang kotor dan diselaputi dengan najis. Malah apa yang menakutkan kita ialah meninggal dunia dalam keadaan berdosa, tidak sempat bertaubat dan mati dalam keadaan kufur.

Oleh itu insaflah dan sedarlah bahawa untuk keluar dari tempat yang bernajis atau kotor itu, maka salah satu caranya ialah kita mesti meninggalkan, menjauhi tempat yang bernajis dan mestilah mencari tempat yang suci iaitu sentiasa menjadi tetamu Allah SWT khususnya di masjid serta berdamping atau bersahabat dengan orang-orang soleh. Kemuncak ibadat bagi tetamu Allah di masjid ialah mendengar dua khutbah dan solat fardhu Jumaat. Firman Allah dalam surah al-Jumaah ayat 9:


Maksudnya: Wahai orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu (ke masjid) untuk mengingati Allah dan tinggalkanlah berjual-beli; yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui ”.

Perjumpaan tetamu Allah setiap minggu di atas rumah Allah mampu membaiki keimanan dan meningkatkan persaudaraan sesama muslim dan perpaduan ummah. Dalam peluang inilah umat Islam berkesempatan membincangkan isu-isu yang dihadapi dalam mencari kata sepakat. Oleh kerana besar pengaruh perjumpaan tetamu Allah ini, maka sesiapa yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut tanpa uzur yang dibenarkan syarak maka mereka ini dikira sebagai orang yang lalai. Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “ Sesiapa yang meninggalkan Jumaat tiga kali berturut-turut tanpa uzur, Allah akan menutup mata hatinya.(Riwayat al-Nasa’ie)

Apa yang dimaksudkan uzur syarak  ialah seperti hujan lebat, sakit, menjaga orang sakit, ancaman keselamatan dan uzur-uzur yang lain. Menurut Imam al-Ghazali dalam kitab  Ihya Ulumudin: pada malam dan siang hari Jumaat ada sesaat yang mulia di mana segala permohonan doa akan dimakbulkan. Saat yang mulia itu dirahsiakan. Siapa meninggal dunia pada hari Jumaat atau malam Jumaat, maka Allah mencatat untuknya pahala orang syahid dan menjaganya dari azab kubur. Manakala amalan-amalan sunat pada hari Jumaat seperti bangun pada malamnya untuk melakukan qiamulail, sujud syukur, berzikir, beriktikaf dan membaca al-Quran seperti surah al-kahfi, Yaasin, Sajjadah dan al-Mulk sebagaimana hadith Rasulullah SAW:

Bermaksud: Barangsiapa yang membaca surah al-kahfi pada hari Jumaat nascaya Allah akan menerangi cahaya yang akan menerangi dirinya antara dua Jumaat”.(Riwayat al-Bukhari)

Pada pagi Jumaat disunatkan bagi kita membersihkan diri dengan melakukan mandi sunat, bersiwak, memakai pakaian yang baru dan wangian. Kita juga digalakkan  memperbanyakkan selawat ke atas junjungan kita Nabi Muhammad SAW pada sepanjang hari tersebut. Kita hendaklah bersegera ke masjid atau sekurang-kurangnya sebelum tergelincir matahari atau sebelum masuk waktu zohor. Di sunatkan kita berjalan kaki ke masjid dan setiap langkah itu dikira sebagai penghapus dosa. Mereka yang datang paling awal ke masjid akan mendapat pahala yang besar digambarkan seperti mendapat seekor unta. Ketika memasuki masjid hendaklah melakukan sembahyang dua rakaat walaupun ketika itu Imam sedang berkhutbah. Di waktu Imam berkhutbah hendaklah kita memasang telinga  mendengar segala yang disampaikan dan mematuhi nasihat yang diberikan oleh khatib. Hadith Rasulullah SAW:

Bermaksud: Barangsiapa  yang  berwuduk dengan sempurna kemudian ia pergi ke masjid menunaikan solat Jumaat dalam keadaan diam dan memberi  perhatian sepenuhnya terhadap khutbah yang di sampaikan, maka di ampunkan dosanya pada hari tersebut dan antara Jumaat yang akan datang”.(Riwayat Muslim)

Hari Jumaat adalah hari yang penuh keberkatan. Bagi mengambil peluang keemasan ini,  marilah kita menjadikan dan membudayakan bersama keluarga dan anak-anak kita dengan memuliakan hari Jumaat sebagai penghulu segala hari, mudah-mudahan dengan cara ini ianya mampu memperkukuhkan institusi keluarga dan memantapkan keimanan anak-anak kita. Ini adalah amalan para nabi, wali-wali dan orang soleh. Bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian kita oleh kerana kesibukan urusan dunia dan pengaruh sosial, kadangkala menyebabkan kita lupa tentang kemuliaan hari Jumaat. Malah apa yang menyedihkan kita ialah terdapat di kalangan umat Islam menjalankan  pula aktiviti pada malam dan hari Jumaat yang menyemarakkan lagi gejala sosial.

Akhir kalam marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Jumaah ayat 10:


Bermaksud: “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi, dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatkanlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya di dunia dan di akhirat.”.(Surah al-Jumaat ayat 10)

Disediakan oleh : Biro Pembangunan Minda & Rohani KMKJ 2012/2013





Warkah Jumaat Edisi4 - Mencari Kunci Keredhaan

Posted by Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan | Friday, January 4, 2013 | Posted in , ,


Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan
WARKAH JUMAAT EDISI 4

“MENCARI KUNCI KEREDHAAN”
(04 JANUARI 2013 / 22 SAFAR 1434H)


Proses fitrah kejadian manusia tidak dapat menafikan peningkatan usia dari hari ke hari. Sama ada suka ataupun tidak, kita seharusnya menerima hakikat dan kenyataan bahawa setiap yang muda akan berubah menjadi tua apabila sampai masa yang di tetapkan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam surah al-Nahl ayat 70:

Maksudnya:Dan Allah yang menciptakan kamu; kemudian Ia mewafatkan kamu; dan ada pula di antara kamu yang dikembalikannya kepada peringkat umur yang lemah sehingga menjadilah ia lupa akan sesuatu yang telah diketahuinya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.
Namun persoalannya bukan usia yang menjadi pertaruhan kita, akan tetapi amalan dan pengorbanan yang kita lakukan selama ini yang menjadi hasil yang harus di nilai oleh setiap manusia lebih-lebih lagi mereka yang bergelar sebagai seorang anak. Justeru, Islam mendidik umatnya supaya berbakti dan menghormati serta berbuat baik kepada orang tua. Dalam erti kata mentaati mereka, menjaga adab sopan semasa berhadapan dengan mereka, memelihara dan mencurahkan kasih sayang kepada mereka dengan tulus dan ikhlas, malah tidak sekali-kali cuba menyakiti hati mereka, sama ada secara langsung ataupun tidak.

Rasulullah SAW berpesan dan mengingatkan bahawa orang yang tidak menghormati orang tua bukan golongan muslim sebagaimana sabdanya yang bermaksud: “Bukanlah dari golongan kami, sesiapa yang tidak menghormati orang tua kami dan tidak pula mengasihi anak kecil kami. (Riwayat Al-Tabrani). Sehubungan itu, sebagai seorang yang bergelar anak, kita wajib menghormati, mentaati dan berbuat baik terhadap ibu bapa. Ini sebagai suatu penghormatan tertinggi daripada kita dan membalas jasa ibu bapa mereka. Firman Allah SWT dalam surah al-Israa’ ayat 23-24:

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan 'ah', dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.

Hari ini, banyak kes penderhakaan zaman moden yang dilakukan oleh generasi muda kepada warga tua. Ada di kalangan mereka diabaikan, dibiar melarat di jalanan, mengemis dan didera. Malah, pernah terjadi anak menyaman orang tuanya sendiri sehingga ke mahkamah serta sanggup membunuh disebabkan tamak kepada wang atau harta. Ramai golongan tua yang terbiar dan tak kurang pula yang dihantar ke rumah-rumah kebajikan, walau pada dasarnya rumah-rumah kebajikan ini hanya disediakan kepada warga tua yang tidak mempunyai waris. Pelakuan sebegini menandakan semakin ramai anak-anak mengabaikan tanggungjawab dan penghormatan terhadap orang tua mereka. Situasi ini menjelaskan kepada kita bahawa kehilangan nilai murni dikalangan generasi muda semakin meruncing dan membimbangkan bukan sahaja di negara kita malah seluruh dunia.

Ingatlah wahai muslimin sekalian bahawa membenci kedua ibu-bapa dan mengabaikan kasih sayang kepada mereka akan mendatangkan kemurkaan Allah SWT dan merupakan dosa besar. Sebuah Hadith Rasulullah SAW yang bermaksud “Ada tiga jenis manusia yang terkena laknat Allah SWT iaitu: Seorang yang membenci kedua ibu bapanya, seseorang yang berusaha menceraikan sepasang suami isteri, kemudian setelah isteri tersebut dicerai ia menggantikannya sebagai suaminya dan seseorang yang berusaha agar orang-orang mukmin saling membenci dan saling mendengki antara sesamanya dengan hasutan-hasutannya. (Riwayat Ad Dailami)

Imam Bukhari meriwayatkan bahawa Abdullah bin Amru bin al-'As RA bertanya Rasulullah SAW. tentang dosa besar. Sabda baginda: Antara dosa besar ialah seorang lelaki mencerca ibu bapanya. Tanyanya lagi: Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun ibu-bapanya? Jawab Nabi SAW: Ya. Seorang lelaki memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga sekiranya seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya.

Renungilah kisah al-Qamah dan ibunya di zaman Rasulullah SAW yang menjadi iktibar kepada kita semua. Seorang pemuda yang berada dalam keadaan nazak. Malangnya, tidak mampu mengucapkan dua kalimah Syahadah, sekalipun telah berulangkali diajar dan dituturkan di telinganya, kerana pada zaman hidupnya banyak perlakuan durhaka yang dilakukan dan tidak mendapat keredhaan seorang ibu.

Apalah gunanya anak-anak berpangkat besar, berjawatan tinggi, memiliki harta yang banyak sedangkan perbuatan harian mereka penuh dengan dosa disebabkan kedurhakaannya kepada kedua orang tuanya. Kita harus sedar bahawa amal soleh yang banyak tidak mencukupi untuk kita mengabaikan tanggungjawab menjaga orang tua. Pastinya hati mereka hancur dan air mata sedih akan menitis berderai bila mereka mengenangkan anak-anak yang di manja dari kecil bagaikan menatang minyak yang penuh, tetapi apabila dewasa dan berjaya, mereka ditinggalkan dan diabaikan.  Janganlah  kita menjadi seorang anak semasa kecil diberi susu, akan tetapi apabila dewasa membalasnya dengan tuba.

Mengakhiri warkah jumaat pada minggu ini, marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Israa ayat 24:

Maksudnya: Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.”


Disediakan oleh : Biro Pembangunan Minda & Rohani KMKJ 2012/2013







[IKLAN] Jaulah ke Turkey bersama YDP KMKJ

Posted by Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan | Wednesday, January 2, 2013 | Posted in ,


[IKLAN] Jaulah ke Turkey bersama YDP KMKJ

> KEISTIMEWAAN PAKEJ INI :
• Tawaran harga istimewa untuk anak-anak KMKJ bagi 10 orang  terakhir.
• Tiket dan segala urusan akan diuruskan oleh pihak crew.
• Tawaran pakej khas dari kami adalah Istanbul dan Bursa (Main Ski)
• Harga runtuh khas bagi pendaftaran terawal.

>BANDAR AKAN DILAWATI :
• Istanbul
• Bursa

------------------------------------------------------------
Sebarang maklumat lanjut mengenai jaulah boleh hubungi YDP KMKJ ALIMIN ABIAH +962 776 207 240

>Anjuran bersama :
• Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan (KMKJ)
• KMKJ Travel
• Umm Qays Travel & Tours SDN.BHD

“Jom berjaulah bersama meningkatkan ekonomi KMKJ”

Tv Kmkj

    Blog Archive