Sejarah Ringkas Penubuhan Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan
Setelah mendapat mandat secara rasminya daripada Y.A.B. Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan yang disampaikan melalui Yayasan Islam Kelantan (YIK), pihak YIK telah mengamanahkan kepada Y.B. Ustaz Nik Zawawi Salleh (bekas pelajar al-Albayt, Jordan) bagi menguruskan penubuhan secara rasmi.
Proses penubuhan mengambil masa kira-kira 4 bulan bagi menyediakan draf undang-undang dan perkara yang berkaitan. Proses ini dikendalikan oleh pihak penaja yang dipengerusikan oleh Y.B. Ustaz Zawawi Salleh dan dianggotai oleh beberapa orang pelajar. Antaranya ialah Ustaz Haron Sulaiman, Ustaz Wan Mohamad Zamri Wan Salleh, Ustaz Azhar Arifin dan Ustazah Mazlina.
Pihak penaja turut melantik lujnah penggubal draf perlembagaan yang diketuai oleh Ustaz Mazlan Ibrahim. Draf ini telah diluluskan secara rasminya pada Mesyuarat Agung Kali Pertama KMKJ dengan beberapa perubahan.
Dalam Mesyuarat Agung Kali Pertama, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan semua calon telah menang tanpa bertanding dan perlantikan secara rasminya Yang Dipertua yang pertama, Ustaz Azhar Arifin @ Yaacob seta Ketua Hewanya, Ustazah Mazlina Muhammad. Pada tahun 1996, Keluarga Mahasiswa Kelantan Jordan ditukarkan secara rasminya kepada Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan yang berkekalan sehingga ke hari ini.
Berikut merupakan objektif penubuhan Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan:
- Menjaga hal ehwal kebajikan pelajar Kelantan di Jordan.
- Mengeratkan silaturrahim dalam kalangan ahli.
- Menjaga saluran rasmi antara pelajar-pelajar Kelantan dengan kerajaan negeri Malaysia amnya dan kerajaan Kelantan khususnya.
- Memberi khidmat nasihat dan panduan kepada para ahli.
- Menjalinkan hubungan dengan persatuan-persatuan lain di Jordan dan luar Jordan.
Setiap pertubuhan dan gerakan mahasiswa adalah berperanan sebagai pemangkin dalam membentuk identiti dan personaliti mahasiswa. Keterlibatan mahasiswa dalam organisasi juga merupakan aset penting untuk dibawa pulang ke Malaysia sebagai persediaan mantap individu sebelum pulang ke tanah air yang jauh lebih mencabar. Oleh yang demikian, usaha ke arah melibatkan individu yang bergelar mahasiswa dalam berpersatuan melalui program-program yang diadakan sama ada sebagai penggerak, pendokong atau penyokong tidak seharusnya dipandang remeh bagi melahirkan mahasiswa yang beriman, proaktif, berwaspada dan berketerampilan.