Headlines
Published On: Sunday, August 21, 2011
Posted by Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan

RISALAH BAGI HATI –HATI YANG MERINDUKAN RAMADHAN N PENGAMPUNAN ALLAH ~ part 3 ~

Bermuhasabah
Telah puluhan tahun usia kita berlalu. Masa yang ada dalam mencari cinta-Nya semakin berkurangan. Allah s.w.t. menegaskan ``Mereka yang berusaha di jalan Kami, pasti Kami akan tunjukkan jalan kepada Kami.'' Mungkin sudah sampai masanya untuk kita bermuhasabah dan mula mengurangi penyakit hati. Semoga keringanan ini memudahkan jiwa kita `terbang' menuju redha dan cinta-Nya yang abadi. Firman Allah s.w.t. bermaksud: Wahai orang yang beriman, belum sampaikah masa kepada orang yang beriman untuk tunduk hati-hati mereka dalam mengingati Allah dan kebenaran yang diturunkan- Nya?


Ramadan adalah program rabbani. Yang mengikis karat-karat hati sebagaimana puasa menghakis toksik dari tubuh badan. Ibadah di dalamnya seperti puasa, solat, membaca al-Quran di dalamnya adalah anugerah khusus kepada manusia. Ia adalah satu pakej lengkap yang terdiri daripada ibadah puasa, membaca atau tadabbur al- Quran dan Solat Tarawih. Taqwa yang menjadi objektif ibadah berpuasa itu hanya akan dapat dicapai jika seseorang berpuasa dan mengamalkan ibadah serta akhlak-akhlak yang lain.


Jika puasa berfungsi untuk memberi ruangan kebebasan dan keringanan jiwa daripada nafsu rendah (ammarah), bacaan al-Quran pula untuk melunakkan hati, maka dari perspektif ini, tidak salah jika dikatakan solat itu sebagai kemuncak daripada puasa dan bacaan al-Quran, kerana solat itu membawa seseorang untuk `bertemu' Allah s.w.t. Maka, perhubungan simbiotik antara ibadah- ibadah ini amat perlu dalam membentuk jiwa taqwa.
Kita juga selalu membaca ayat puasa mengenai kewajipan berpuasa tetapi ramai yang `terlepas pandang' kepada ayat selepasnya, iaitu Firman Allah s.w.t. bermaksud: Dan apabila hamba- hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai-Ku, katakanlah (wahai Muhammad) Aku amat dekat. Aku menjawab permintaan orang yang meminta ketika ia berdoa. Maka, taatilah perintah-Ku dan percayalah kepada-Ku. Mudah-mudahan kamu mendapat petunjuk. Jika kita berpuasa jangan pula lupa untuk ingat dan berdoa kepada Allah s.w.t. Di antara cara berdoa yang paling tinggi ialah solat, kerana definisi solat itu adalah ad-Du'a (doa). Di dalam solat juga mengandungi doa dan puji-pujian kepada-Nya.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berpuasa dengan penuh iman dan ihtisab (memelihara, beramal dam berharap) akan diampuni dosa-dosanya. Sebab itu orang yang berpuasa tetapi tidak menjaga anggota atau tidak menunaikan Solat Tarawih pada malam harinya, objektif untuk mencapai taqwa itu mungkin tidak mudah dicapainya.
Solat Tarawih dikerjakan secara berjemaah diimamkan oleh Baginda sendiri. Dari segi pelaksanaannya, Nabi mengerjakan Solat Tarawih berjemaah di masjid selama beberapa malam, dan pada malam-malam yang berikut dilakukan di rumah Baginda. Tujuannya supaya Solat Tarawih berjemaah di masjid tidak dianggap sebagai suatu kewajipan bagi umat Islam.
Solat berjemaah itu sendiri adalah fardu kifayah dan ia adalah sunat muakkad dalam Mazhab as-Syafie. Solat Tarawih sunat didirikan secara berjemaah dan berjemaah di masjid adalah paling utama. Namun, tidak mengapa sekiranya Solat Tarawih didirikan bersendirian di rumah, atau berjemaah bersama keluarga, di rumah sahabat handai yang diziarah dan sebagainya. Yang perlu dicari ialah kualiti dan redha Allah s.w.t. Allah s.w.t. tidak melihat kepada gambaran zahir tetapi meneliti kepada keindahan amal yang disertakan keikhlasan di lubuk hati. Mungkin pada tanggapan manusia, sesuatu perbuatan yang dilakukan oleh seseorang itu remeh, tetapi pada penilaian Allah s.w.t. ia adalah amal yang bernilai tinggi.
Allah tidak jemu melihat hamba beribadah kecuali apabila hamba itu jemu beribadah. Justeru, dalam mendidik nafsu agar tidak jemu beribadah perlu ada tekniknya, khususnya dalam melaksanakan Solat Tarawih. Menurut Imam al-Ghazali, nafsu seperti kanak-kanak. Ia suka pada perkara yang menyeronokkan, dan tidak suka kepada ibadah dan kebaikan. Ia boleh dikawal, tetapi tidak boleh dimatikan.
Jika terlalu kuat kawalan, ia akan memberontak dan lama-kelamaan akan meninggalkan terus ibadah yang diperintahkan ke atasnya. Justeru, tidak menjadi masalah jika pelaksanaan Solat Tarawih bagi individu dipelbagaikan supaya nafsu tidak berpatah arang dan berkerat rotan dengan ibadah. Ia boleh dilaksanakan di surau atau masjid yang berbeza, bersama keluarga, bersendirian, melakukan lapan rakaat, 20 rakaat, solat berselang seli dengan rehat sejenak, keluar sebentar untuk tunaikan hajat kecil misalnya, dan berbagai-bagai cara lagi. Yang penting, Solat Tarawih itu mencapai maksud seperti yang diterangkan sebelum ini.

by: UDT KMKJ 2011

About the Author

Posted by Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan on 1:48:00 AM . Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 . Feel free to leave a response

By Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan on 1:48:00 AM . Filed under , . Follow any responses to the RSS 2.0 . Leave a response

0 cadangan dan kritikan membina for " RISALAH BAGI HATI –HATI YANG MERINDUKAN RAMADHAN N PENGAMPUNAN ALLAH ~ part 3 ~ "

Post a Comment

Tv Kmkj

    Blog Archive