Headlines
Published On: Monday, December 6, 2010
Posted by Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan

Salam Transformasi Hijrah 1432 Seiringan Mencipta Realiti



Assalamu 'alaikum WBT, kepada Generasi Hijrah 1432.

Alhamdulillah, syukur kita kepada Allah Subhanahu Wataala, kerana dengan limpah kurnia dan izinNya, dapat kita bersama-sama sekali lagi menyambut tahun baru Hijrah. Bersempena dengan ketibaan tahun baru Hijrah 1432 kami dari barisan Badan Pengurus KMKJ mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut tahun baru kepada semua , khususnya Ahli KMKJ sekalian.

                Awal Muharam yang menandakan awal tahun Hijrah mempunyai erti yang amat besar bagi umat Islam. Hijrah Rasulullah s.a.w. dari Kota Mekah ke Madinah bukanlah satu tindakan seorang yang ingin menyelamatkan diri tetapi sebaliknya sebagai tindakan untuk menyusun strategi bagi menjamin keselamatan dan kemenangan Islam dalam jangka panjang. Dengan itu peristiwa Hijrah adalah satu peristiwa yang harus membawa banyak pengajaran kepada umat Islam dalam menghadapi berbagai cabaran hidup di dunia.

                Kalau diteliti, keseluruhan perjuangan Rasulullah s.a.w. merupakan satu gabungan tindakan yang berasaskan kepada prinsip-prinsip Islam yang tulen iaitu sentiasa berikhtiar, sabar dan tidak putus asa, dan sentiasa berserah kepada Allah Subhanahu Wataala. Hijrah Rasulullah s.a.w.

                Adalah dengan tujuan untuk mempertahankan agama Allah serta nilai-nilai murni Islam, bukan kerana takut ataupun kerana angkuh. Hijrah Rasulullah s.a.w. menandakan titik perubahan dan perkembangan tulen umat manusia. Dengan hijrah inilah lahir satu sistem hidup bermasyarakat yang sempurna, yang mengubah kekuatan umat Islam daripada satu umat yang lemah kepada satu umat yang kuat dan berkemampuan, menjadikan umat Islam yang tidak mempunyai sebarang identiti berjaya membangun sebuah masyarakat dengan sistem pemerintahan yang tersendiri yang menjamin keselamatan umat Islam serta bukan Islam.

                 Kejayaan yang dicapai oleh Rasulullah s.a.w. dalam peristiwa Hijrah ini ada hubungannya dengan perjanjian damai Hudaibiah iaitu dengan Arab Quraisy Mekah, di mana di peringkat awal terdapat bantahan-bantahan yang disuarakan oleh para sahabat, seolah-olah tidak percaya kepada pucuk pimpinan. Cara halus dan sikap tolak ansur Rasulullah s.a.w. berjaya menghasilkan keputusan yang cemerlang yang pada akhirnya menghilangkan rasa tidak puas hati di kalangan para sahabat. Penerimaan Rasulullah s.a.w.

Kepada masyarakat Islam sendiri, nilai-nilai Islam hendaklah benar-benar diikuti dan diamalkan, kerana ianya merupakan perkara wajib dan menjadi contoh kepada seluruh anggota masyarakat. Umat Islam tidak akan dihormati dan dijadikan contoh selagi umat Islam sendiri tidak sanggup menunjukkan kewibawaan agama Allah, dengan jujur dan ikhlas.

                Keagungan Islam dengan nilai-nilai murni dalam ajarannya, tidak hanya terbatas kepada keperluan akhirat sahaja tetapi merangkumi kehidupan duniawi. Di dalam Al-Quran surah Al-Qasas ayat 77, Allah Subhanahu Wataala berfirman yang bermaksud:
"Dan tuntutlah bersungguh-sungguh melalui segala kurniaan Allah kepada mu itu keselamatan di akhirat, tetapi janganlah engkau lupa habuanmu di dunia, dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi ini, sesungguhnya Allah tidak suka kepada yang berbuat kerosakan".

                Maksud firman ini adalah jelas tentang tuntutan supaya kita memberi keutamaan kepada kehidupan dunia bersama-sama dengan kehidupan di akhirat. Sesungguhnya segala bentuk kehidupan di dunia yang berlandaskan kepada kebaikan mempunyai hubungan dan menjamin ganjaran di akhirat.
 Sabda Rasulullah s.a.w.
 "Sesungguhnya Allah Subhanahu Wataala suka sesiapa daripada kamu yang menjalankan kerja dengan baik".  (Maksud kerja yang baik adalah tepat dengan kedudukan manusia sebagai khalifah Allah di dunia)

                Islam melarang sama sekali umatnya berpeluk tubuh dan hanya berdoa mengharapkan rezeki datang menggolek tanpa berusaha. Pernah pada satu ketika sekumpulan orang menemui Rasulullah s.a.w. seraya berkata: "Sesungguhnya Si Fulan berpuasa sepanjang hari dan beribadat sepanjang malam, serta memperbanyakkan ingatan kepada Allah". Maka sabda Rasulullah s.a.w.: "Siapakah di antara kamu yang menanggung makan minumnya?" Jawab mereka: "Kita semua". Sabda Rasulullah s.a.w.: "Kamu semua adalah lebih baik daripadanya".

                Dengan itu kami menggalakkan kepada  Ahli KMKJ untuk bekerjasama bersungguh-sungguh dalam menjayakan penghijrahan ahli dari sudut SYAKHSIAH, AKADEMIK dan UKHUWAH yang bersesuaian dengan nilai-nilai murni ajaran Islam. Oleh itu, bersempena dengan tibanya tahun baru Hijrah 1432 ini, sewajarnyalah kita mengubah sikap dan memperbaharui azam dengan semangat maju ke hadapan untuk menepati hikmat Hijrah Rasulullah s.a.w.

Sekain, Terima Kasih
“Perpaduan Tenaga Dan Upaya Atasai Kegemilangan Minda”

Badan Pengurus,
Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan,
Sesi 2010/11.

6 Disember 2010/ 1 Muharram 1432

About the Author

Posted by Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan on 2:49:00 PM . Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 . Feel free to leave a response

By Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan on 2:49:00 PM . Filed under , . Follow any responses to the RSS 2.0 . Leave a response

0 cadangan dan kritikan membina for " Salam Transformasi Hijrah 1432 Seiringan Mencipta Realiti "

Post a Comment

Tv Kmkj

    Blog Archive