Headlines
Published On: Friday, December 24, 2010
Posted by Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan

Pengurusan kewangan dari persepktif Islam


PENGURUSAN dan perancangan adalah suatu yang amat mustahak dalam semua urusan kehidupan lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan kewangan. Kegagalan mengurus dan merancang sebenarnya seseorang itu mengurus dan merancang untuk kegagalan. Kegagalan merancang kewangan dengan bijak dikenal pasti antara punca mudahnya seseorang itu terperangkap dengan pelbagai masalah dalam kehidupan sebagai seorang yang bergelar mahasiswa masa kini. 

Mahasiswa yang mempunyai perancangan dalam menguruskan kewangannya akan memperoleh gambaran yang jelas tentang kedudukan kewangan terkininya, memberi hala tuju yang tepat mengenai matlamat kewangan yang ingin dicapai yang akhirnya akan membolehkan seseorang itu mencapai matlamat yang diharapkan secara lebih efektif.
 

Islam sebagai agama yang sempurna mengajar umatnya agar sentiasa mempunyai perancangan dalam menguruskan hal ehwal kehidupan mereka. Hal ini dapat dilihat menerusi al Quran dan sunnah. Antaranya firman Allah dalam surah Yusuf yang berbunyi:

Maksudnya: "Dan ia berkata lagi. Wahai anak-anakku! Janganlah kamu masuk ke Bandar dari sebuah pintu sahaja, tetapi masuklah dari beberapa buah pintu yang berlainan. Dan aku dengan nasihatku ini tidak dapat menyelamatkan kamu dari sesuatu takdir yang telah ditetapkan oleh Allah. Kuasa menetapkan sesuatu iaitu sebab dan musabab itu hanya ditetapkan oleh Allah. KepadaNYAlah aku berserah diri dan kepadaNYAlah hendaknya berserah bagi orang yang mahu berserah diri
." Surah Yusuf Ayat 67

Pengajaran daripada ayat di atas antara lain ia menyentuh tentang persoalan perancangan di mana Allah menjelaskan bahawa dalam menguruskan kehidupan jangan bergantung kepada satu pendekatan semata-mata tetapi perlulah mempelbagaikan pendekatan dan strategi. Dan setelah segala persiapan dan perancangan dilakukan maka hendaklah bertawakal kepada Allah.

Ayat 47-48 di dalam surah yang sama iaitu di dalam Surah Yusuf. Allah menegaskan pentingnya perancangan sebelum menghadapi atau melakukan sesuatu malah perlu bijak dalam menguruskan kehidupan seseorang agar tidak susah di kemudian hari.

Perancangan yang baik lebih-lebih lagi di dalam sudut kewangan bagi seseorang yang bergelar mahasiswa sangat penting sebagai salah satu wadah untuk mendekatkan diri kepadaNYA. Ia akan menjadi penerus untuk jangka masa hadapan, persediaan perlu pada masa kini untuk menjamin masa depan apabila bertukar status menjadi seorang yang sudah berumah tangga. Pabila sudah berumah tangga, perancangan dalam kewangan hendaklah semakin bersistematik dan hendaklah bijaksana dalam menguruskan harta/kewangan. Sebagaimana dalam surah al Hasyr yang berbunyi:
 
Yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNYA dan meninggalkan laranganNYA) dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amalannya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan) bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuannNYA akan segala yang kamu kerjakan. Surah Al Hasyr Ayat 18

Ayat ini cukup jelas menyentuh tentang kepentingan perancangan dalam kehidupan, kerana masa depan bergantung kepada perancangan yang yang di rancang oleh kita pada hari ini selain daripada ketentuan Allah Ta'ala.

Harta dalam Islam
 

Dalam Islam mengurus dan membelanjakan harta adalah antara amanah Allah. Ia adalah satu keperluan yang bertujuan mencapai kehidupan yang diberkati. Perspektif yang tepat terhadap harta akan memastikan seseorang itu mencapai bahagia di dunia dan di akhirat menerusi hartanya.

Harta mempunyai kedudukan yang sangat mulia di sisi Islam. Islam menggalakkan umatnya memiliki, menghasil dan menggunakan harta dengan baik dan bijaksana.

Dari kaca mata Islam, harta adalah alat untuk menjamin keselesaan hidup manusia di dunia dan kebahagiaan di akhirat. Ia juga merupakan wasilah untuk mencapai takwa. Allah juga menganugerahkan harta kepada manusia untuk menguji manusia itu sama ada bersyukur atau sebaliknya sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah dalam surah al-Munafiqun ayat 9.

Di samping mengajar manusia agar mempunyai perspektif yang jelas terhadap harta, Islam juga mengajar manusia agar mempunyai pandangan yang betul terhadap kehidupan. Hal ini penting bagi memastikan kehidupan mereka bermatlamat dan arah tuju yang jelas.
 

Islam menggariskan agar umat manusia berusaha bersungguh-sungguh untuk membangun dan membina kehidupan yang bahagia dan harmoni. Ini dijelaskan dalam surah Hud ayat 61.
 

Islam juga menyeru agar menjadikan kehidupan ini dapat memberi manfaat kepada orang lain sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sebaik-baik kamu adalah yang paling banyak memberi manfaat".

Di dalam ajaran Islam, dunia adalah tempat sementara yang hanya sebagai jambatan untuk ke akhirat, dunia sebagai tempat bercucuk tanam dan akhiratlah tempat untuk menuainya. Walaupun dunia bersifat sementara, Islam dengan pelbagai kaedah dan pendekatan mengajar umat manusia supaya mempunyai status sosial dan ekonomi yang baik.

Oleh itu, Islam memerintahkan supaya harta dan kehidupan diuruskan dengan baik dan bijaksana. Jika sebaliknya ia akan menjadi faktor keruntuhan manusia dan kemurkaan Allah seperti dalam surah Saba' ayat 15 - 16 dan surah al-Nisaa' ayat 10 dan 161.

Pengurusan kewangan Islam

Pengurusan kewangan yang bijak itu adalah yang dapat mengimbangi perbelanjaan dan pengurusan perbelanjaan kita di dalam kehidupan seorang yang bergelar mahasiswa untuk mendapat keberkatan daripadaNYA. Perlu diingatkan bahawa merancang dan mengurus ini merupakan sunnah.
 

Secara lebih mendalam, perancangan kewangan itu merujuk kepada 'Perancang Kewangan' sebagai "seseorang yang membuat analisis kedudukan kewangan individu lain dan mencadangkan perancangan pelan kewangan agar individu berkenaan mencapai matlamat dan objektif kewangannya." (Suruhanjaya Sekuriti).
 

Secara ringkas, perancangan kewangan Islam itu ialah "satu proses di mana matlamat kewangan keseluruhan individu digunakan untuk membangun dan melaksanakan pelan yang holistik untuk mencapai matlamatnya yang mematuhi syariah dan akhirnya mendapat keberkatan daripada Allah" (Mahadzir Ahmad, majalah VISI, Bilangan 95)

Perancangan kewangan yang didasarkan kepada Islam matlamat akhirnya menjadikan aspek kewangan sebagai satu wasilah mencapai hasanah di dunia dan di akhirat. Justeru, untuk memastikan matlamat ini dapat dicapai maka pelan perancangan perlu mengambil kira perbelanjaan untuk kemaslahatan sendiri seperti keperluan jasmani dan rohani. Perbelanjaan untuk kemaslahatan orang lain seperti nafkah, sedekah ikhlas kepada Allah Ta'ala dan juga perbelanjaan untuk kemaslahatan umum juga..

Secara umumnya, ada dua aspek utama yang dititikberatkan oleh Islam dalam hal-hal yang bersangkutan dengan pengurusan kewangan kita sendiri, iaitu bagaimana ia diperolehi. Ia tidak perlu dititik beratkan kerana sumber yang kita perolehi ialah daripada sumber-sumber yang jelas.

Aspek kedua adalah bagaimana harta itu dibelanjakan, sama ada untuk kebaikan ataupun untuk perkara-perkara yang dilarang Allah. Perkara ini dapat dilihat menerusi sabda Rasulullah Sallau Alaihi Wasallam yang bermaksud: "Tidak akan berganjak kedua-dua kaki anak adam pada hari kiamat sehingga ditanya tentang umurnya pada apa ia dihabiskan, tentang usia mudanya pada apa digunakan dan tentang hartanya dari mana ia diperoleh dan bagaimana ia dibelanjakan dan tentang ilmunya pada apa ia diamalkan?"

Oleh itu, aspek utama yang perlu diambil kira di dalam perancangan kewangan Islam adalah memperoleh keberkatan. Cara macamana kita membelanjakannya ke arah mendapat keredhaan kepadaNYA selaku kita seorang yang mencari ilmu.

Keberkatan

Sebagai seorang yang bergelar
Mahasiswa Islam hendaklah cuba membentuk hati kita masing-masing selain bersungguh-sungguh mencapai apa yang ditargetkan, kita juga hendaklah tidak lupa untuk bersungguh-sungguh mencari keberkatan daripadaNYA. Kalaulah kita sendiri yang sudah sedia maklum natijah apabila tidak ada keberkatan daripada kedua ibu bapa kita, apatah lagi daripada Allah Ta'ala Yang Maha Mengetahui.

Jagalah hak Allah Ta'ala nescaya Allah Ta'ala menjaga hak kita, itulah yang dapat diungkapkan untuk kita dapat mengembalikan balik keberkatan kita di dalam menguruskan kewangan kita seharian selaku seorang yang bertanggungjawab ke atas apa yang ada pada kita sekarang ini. Firman Allah Ta'ala di dalam Surahl Muhammad:
 
Yang bermaksud:"Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (Agama) Allah Ta'ala, nescaya Allah Ta'ala membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan menrguhkan tapak pendirian kamu" Surah Muhammad Ayat 7.

Sebagai penutupnya, cubalah kita memperbaharui cara kita menguruskan kewangan kita daripada kurang baik kepada lebih baik ke arah lebih bersistematik seiring untuk mencapai keberkatan daripadaNYA dan keberkatan pada ilmu yang kita sedang tuntut sekarang. Dengan pengurusan yang lebih efektif melambangkan seorang mahasiswa islam yang berpendirian selari dengan apa yang di tuntut oleh Syariat Allah Ta'ala

Disediakan oleh :
Ahmad Syakir bin Nassuruddin,
Bendahari Agung
KMKJ 2010/11

About the Author

Posted by Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan on 5:42:00 PM . Filed under , , , , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 . Feel free to leave a response

By Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan on 5:42:00 PM . Filed under , , , , . Follow any responses to the RSS 2.0 . Leave a response

0 cadangan dan kritikan membina for " Pengurusan kewangan dari persepktif Islam "

Post a Comment

Tv Kmkj

    Blog Archive