Headlines
Published On: Wednesday, September 8, 2010
Posted by Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan

Perutusan Lebaran 1431H




Alhamdulillah, selaut pujian kita tujukan kepada Allah S.W.T, selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W beserta ahli keluarga Baginda yang mulia, seterusnya kepada Para Tabiin, tabi’ Tabiin dan seluruh seluruh umat Islam yang sentiasa gigih menjunjung agama Islam yang mulia ini.

Sahabat dan sahabiah yang dikasihi oleh Allah,

Sedar tak sedar, Ramadhan sudah hampir sampai ke penghujung dan hanya berbaki lebih kurang sehari sahaja lagi untuk kita berada di di dalam bulan yang mulia ini. Bagi individu yang sedar serta menghayati ‘tawaran' bonus yang di berikan oleh Allah SWT dan RasulNya di bulan Ramadhan, mereka sudah pasti akan merasa sedih atau amat sedih dengan pemergiannya.

جَاءِني جِبريلُ صلى الله عليه وسلم فَقال : شَقي عَبدٌ أَدركَ رمضانَ فانسَلخَ مِنهُ ولَم يُغفَر لَه فَقلتُ : آمِينَ ،


Ertinya : "Datang kepadaku Jibrail lalu berkata : " Celaka ke atas seorang hamba yang sempat bertemu Ramadhan dan keluar darinya tetapui tidak mendpaat keampunan terhadap dosa-dosanya, lalu aku (Rasulullah s.a.w) berkata : Ameen. (tirmidzi, ibn hibban, Ahmad, Ibn Khuzaymah, Al-Hakim & disetujui oleh Az-Zahabi, Abu Yu'la, At-Tabrani dalam Al-Kabir & al-Awsat, At-Tayalisi, Al-Bukhari dalam Adab Al-Mufrad, Ibn Al-Ja'd ; Sahih Lighairihi oleh al-Albani di dalam Sahih Adab al-Mufrad - no: 644)

Mudah-mudahan, Ramadhan kali ini bakal menatijahkan suatu ibrah yang bermakna dalam membentuk jati diri seorang muslim yang bertakwa yang mampu menterjemahkan segala nilai Islam dalam kehidupan dan juga hikmah yang berganda buat bekalan kepada kita semua bagi mendepani 11 bulan yang mendatang. Adakah kita akan bertemu lagi dengan Ramadhan akan datang? Wallahua’lam. Hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. Pergunakanlah masa yang masih berbaki ini, bagi merebut segala pahala dan ganjaran yang telah dijanjikan.

Sahabat dan sahabiah sekalian,

Ramadhan kian berakhir dan bahang Aidilfitri semakin hampir dirasai. Semoga Aidilfitri yang bakal dirayakan ini akan menjadi satu hari yang penuh bermakna bagi mereka yang berjaya melepasi tarbiyyah dan didikan selama sebulan di bulan Ramadhan yang mulia. Insyaallah.

Di kesempatan ini, kami badan pengurus Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan (KMKJ) ingin mengucapkan kepada seluruh ahli KMKJ khususnya serta anak-anak Kelantan yang berada di segenap pelusuk dunia, dan  tidak lupa juga seluruh ahli KMKJ yang beraya di samping keluarga tercinta di Malaysia dengan ucapan :

Selamat Hari Raya Aidilfitri
Taqabbalullah minna waminka
(Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu)
Maaf Zahir dan Batin

Jadikan sambutan Hari Raya ini sebagai titik tolak dan penerus untuk kita sebagai seorang hamba bagi mempertingkatkan lagi amalan dan ketaqwaan kita kepada Allah Ta’ala. Meriahkanlah ia dengan suasana tahmid, bermaaf-maafan, ziarah-menziarahi antara satu sama lain untuk meningkatkan lagi ukhuwwah dan persaudaraan sesama kita. Usahlah suasana hari raya yang mulia ini dicemari dengan sebarang perkara yang boleh menjerumuskan kita ke dalam lembah dosa. Tidak salah untuk bersuka ria dan bergembira sebagai tanda kesyukuran dapat mengharungi bulan Imtihan Ramdhan, namun ikatlah kembali diri dengan iman agar kita tidak melampaui batas agar kita dapat meraikan Aidilfitri dalam suasana yang bersyariat.

Juga, tidak dilupakan kepada bakal-bakal tolabul ilmi dan penerus generasi pejuang serta ulama yang bakal bertamu di Tanah Dataran Syam ini, pihak KMKJ juga ingin mengucapkan :
أهلا وسهلا ومرحبا بكم
Semoga antum semua tetap bersemangat dan teguh untuk meneruskan pengajian dan kehidupan di sini. Kalau ada sebarang masalah, jangan segan untuk berjumpa dengan pihak kami. Anggaplah kami sebagai abang-abang dan kakak-kakak antum semua, pengganti keluarga di Malaysia yang bakal dtinggalkan.

Akhir kalam, kami dari barisan badan pengurus KMKJ sesi 2010/2011 ingin memohon jutaan kemaafan di atas sebarang kesalahan dan kesilapan di sepanjang tempoh kami mengendalikan dan memacu perjalanan KMKJ kali ini. Kritikan, komen serta sokongan dari kalian, ahli KMKJ se-Jordan amatlah diharapkan bagi memastikan kehendak antum, serta visi dan misi KMKJ dapat dipenuhi dan dicapai. Selain itu, Marilah kita sama memperkemaskan lagi saff kesatuan dan ukhuwwah, mudah-mudahan segala cabaran dan dugaan yang mendatang dapat diharungi bersama dengan baik.

Salam akhir Ramdhan dan Salam Lebaran.

Dari kami,
Badan Pengurus KMKJ 2010/2011


About the Author

Posted by Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan on 3:23:00 PM . Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 . Feel free to leave a response

By Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan on 3:23:00 PM . Filed under , . Follow any responses to the RSS 2.0 . Leave a response

0 cadangan dan kritikan membina for " Perutusan Lebaran 1431H "

Post a Comment

Tv Kmkj

    Blog Archive