Published On:
Friday, December 21, 2012
Posted by
Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan
Warkah Jumaat Edisi3 - Manusia Berhati Syaitan
Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan
WARKAH JUMAAT EDISI 3
“MANUSIA BERHATI SYAITAN”
(21 DISEMBER 2012 /)
Dalam menghadapi
kehidupan yang serba mewah dan canggih ini, ramai manusia tidak mampu
membezakan garis pemisah antara kebenaran dan kebatilan. Bagi mereka yang tidak
mendapat nur hidayah petunjuk, mereka mengganggap kebenaran itu bagaikan
ranjau-ranjau yang berduri, sebaliknya mereka merasakan bahawa kesesatan atau kekeliruan bagaikan taman indah yang
dipenuhi dengan bunga yang berwarna warni. Alangkah sesatnya mereka ini,
ruginya kehidupan mereka kerana telah dipengaruhi oleh musuh Allah SWT iaitu
Syaitan laknatullah. Ingatlah bahawa dalam sejarah kewujudan dunia, didapati
Syaitan atau Iblis merupakan makhluk pertama yang berada dalam kesesatan dan
kemungkaran serta berjanji untuk menyesatkan seluruh umat manusia di muka bumi ini.
Firman Allah SWT
dalam surah al-Mujadalah ayat 19:
Maksudnya: “Syaitan
telah menguasai mereka, sehingga mereka lupa mengingati Allah; mereka itulah
puak Syaitan. Ketahuilah! Bahawa puak Syaitan itu orang yang rugi. ”
Menurut
Ulama, Syaitan adalah golongan kafir daripada Jin. Bapa mereka ialah Iblis.
Syaitan adalah musuh utama manusia dan syaitanlah yang mengeluarkan Adam dan
Hawa daripada Syurga. Syaitan sentiasa berusaha supaya manusia tidak dapat
memasuki syurga dan menjauhkan diri daripada jalan ke arahnya. Walaupun demikian sifat syaitan, namun masih ada manusia yang menurutnya dan
meninggalkan syariat Allah SWT dan petunjuk para Nabi dengan menerima pujuk
rayu Syaitan.
Antara amalan Syaitan ialah melakukan
kezaliman dan pengkhianatan kepada umat manusia, Syaitan melakukan tipu daya
supaya manusia berbuat kejahatan dan mengajak ke arah keburukan dan kekejian. Manusia yang zalim iaitu
yang berhati kejam, mereka tidak merasa takut kepada Allah SWT dan perbuatan
mereka melanggar hukum-hukum Allah. Syaitan akan meninggalkan dan membiarkan
manusia pada saat genting apabila manusia telah terjebak mengikut telunjuk
Syaitan.
Manusia yang
berhati Syaitan atau saudara Syaitan adalah mereka yang mengikut hawa nafsunya
dan menjadi pengikut jalan para perosak. Mereka ini tidak mendapat petunjuk
dari Allah SWT sedikit pun. Di dalam hatinya terdapat sifat-sifat tercela
seperti tamak, hasad dengki, iri hati, zalim, melakukan kemaksiatan malah
mendorong ke arah kederhakaan kepada Allah SWT. Sayidina Ali RA berkata: “yang
paling aku takutkan menimpa kamu adalah panjang angan-angan dan mengikuti hawa
nafsu. Panjang angan-angan dapat melupakan kehidupan akhirat, sedangkan
mengikuti hawa nafsu dapat menghalang-halangi kebenaran.”
Ingin ditegaskan bahawa mereka yang dikuasai oleh Syaitan, sebenarnya kebatilan telah menguasai hati mereka dan menyangka
bahawa Syaitan adalah teman karibnya sehingga menjadi pengikut Syaitan, maka
ingatlah bahawa musuh Allah SWT ini sentiasa mengintai-intai sasarannya dan
menunggu mangsanya untuk dijerumuskan ke dalam jurang yang dalam.Masyaallah.
Dalam usaha menjadikan manusia itu
sebagai pengikutnya, maka sudah menjadi kebiasaan Syaitan melakukaan kefasadan,
memusuhi anak Adam, mendatangi anak Adam
dari sebelah kanan, kiri, hadapan dan belakang mereka. Sentiasa mencari
cari peluang untuk menghasut, menyesat dan menakutkan manusia. Syaitan
menggunakan dua cara untuk mewujudkan pintu godaan ini iaitu lisan dan
perbuatan. Cara lisan lebih hebat daripada perbuatan kerana di situlah
terhimpun segala pujuk rayu dalam jiwa. Lisan juga merbahaya kepada tubuh
manusia kerananya juga akan membawa hidup penuh sengsara di dalam Neraka.
Sayidina Mu’adz pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang amalan yang dapat
memasukkan ke dalam Syurga dan menjauhkan daripada api Neraka. Maka Rasulullah
SAW memegang lidahnya sendiri lalu bersabda:
Bermaksud: “Jagalah
lisanmu, kecuali untuk berkata baik, sebab dengan demikian itu engkau dapat
mengalahkan godaan Syaitan”. (Riwayat at-Thabrani)
Bagi menghindari
dari Syaitan menguasai diri kita, maka antaranya hendaklah kita sentiasa
mendekatkan diri kita kepada Allah SWT dengan memohon perlindungan
daripada-Nya, sentiasa membaca ayat-ayat suci al-Quran, mencegah diri dari
berbicara yang berlebihan, memelihara mata, telinga, hati dan segala anggota,
membuang amalan-amalan Syaitan seperti ketawa yang berlebihan, berjalan di
waktu senja dan yang terakhirnya yang mesti kita lakukan ialah jihad melawan
segala bentuk tipu daya Syaitan.
Saya mengingatkan bahawa dalam
kehidupan hari ini ramai manusia yang berhatikan Syaitan atau dengan kata lain
menjadikan Syaitan sebagai saudara mereka. Apabila Syaitan menguasai diri
manusia, mereka sudah tidak merasa takut untuk melakukan apa saja termasuklah
perbuatan di luar batas kemanusian.
Lihatlah sahaja apa yang berlaku pada masa kini seperti perbuatan
membunuh kanak-kanak kecil yang tidak berdosa, bahkan bukan setakat dibunuh
tetapi kanak-kanak tersebut di dera, disiksa dengan begitu kejam serta dibakar.
Malah pada hari ini juga ada orang-orang tua yang menjadi mangsa kepada saudara
mara sendiri seperti dibiarkan terabai dan diperlakukan dengan begitu kejam.
Kita juga menyaksikan pada hari ini bagaimana rakusnya nafsu manusia yang
dikuasai oleh Syaitan seperti kes sumbang mahram, bapa merogol anak sendiri,
kes isteri curang sehingga bersekedudukan, kes pembuangan bayi yang tiada
kesudahannya dan lain-lain lagi. Saya ingin menyatakan bahawa perbuatan ini
berlaku kerana diri dan hati manusia yang bertindak kejam itu sebenarnya telah
dikuasai oleh Syaitan laknatullah. Ingatlah wahai muslimin sekalian bahawa
kejadian-kejadian yang berlaku masa kini seperti gejala sosial, keruntuhan
akhlak, kes-kes jenayah, pembunuhan, penindasan
sesama manusia, membunuh diri dan melakukan kejahatan, kezaliman keatas makhluk-makhluk Allah adalah perbuatan
yang dipengaruhi Syaitan. ketahuilah bahawa mereka yang menjadikan nafsu dan
Syaitan sebagai petunjuk kehidupan akan menemui kegagalan akhirnya. Mereka
sentiasa resah kerana sentiasa diburu rasa bersalah, bukan sahaja kepada Allah SWT
tetapi juga kepada diri sendiri. Golongan ini tidak akan diberi petunjuk oleh
Allah SWT dan di akhirat kelak mereka akan di azab dengan api neraka yang amat
pedih. Mimbar menyeru marilah
sama-sama kita kembali ke jalan yang benar dengan melakukan amal soleh, menutup
segala pintu Syaitan dan kemungkaran serta mengingati akhirat agar kita sedar
tentang hakikat kehidupan ini. Akhir sekali marilah sama-sama kita merenung
firman Allah SWT dalam surah al- Hadid ayat 21:
Maksudnya: “Berlumbalah
kamu untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan syurga yang luasnya seluas
langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang beriman kepada Allah dan
Rasul-Rasul-Nya; itulah kurniaan Allah; diberikan kepada sesiapa yang
dikehendaki; dan Allah mempunyai kurnia yang besar”.
Disediakan oleh : Biro Pembangunan Minda & Rohani KMKJ 2012/2013