Published On:
Friday, December 14, 2012
Posted by
Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan
Warkah Jumaat Edisi2 - Kewajipan Membayar Hutang Mengikut Islam
Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan
WARKAH JUMAAT EDISI 2
“KEWAJIPAN MEMBAYAR HUTANG MENGIKUT ISLAM”
(14 DISEMBER 2012 /)
Budaya berhutang sudah menjadi amalan dalam kehidupan masyarakat kita.
Perkara ini berpunca dari sikap kita yang suka berbelanja melebihi kemampuan
kewangan semasa. Biarpun tidak mempunyai wang, namun keinginan membeli masih
ingin ditunaikan. Jika dahulu hanya golongan miskin yang biasa
dikaitkan dengan hutang. Namun, hari ini golongan berada dan sederhana juga
terbabit dengan hutang. Orang miskin berhutang untuk memenuhi keperluan hidup
yang terdesak, sedangkan golongan kaya berhutang untuk bermewah mewahan bagi mengumpul
harta seperti membuat pinjaman untuk membeli saham dan sebagainya.
Saya ingin
menjelaskan gaya hidup berhemah berkait
rapat dengan sifat berjimat cermat dan tidak membazir. Islam melarang dan
menegah umatnya daripada membazir kerana ianya perbuatan keji. Islam
menyifatkan pembelanjaan boros dan pembaziran adalah perbuatan keji kerana ia
tidak memberi faedah kepada masyarakat dan menjauhkan lagi jurang golongan kaya
dan miskin. Jika dasar berhemah ini di ambil kira, maka hak-hak serta kebajikan
orang-orang fakir dan miskin dapat ditunaikan sepanjang masa. Sesungguhnya
orang yang membazir adalah saudara syaitan dan syaitan amat suka kepada orang
yang boros dan bebelanja mengikut kehendak nafsu. Firman Allah SWT di dalam
surah al-Israk ayat 27:
Maksudnya:“
Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu
pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya”.
Ibn Mas’ud dan Ibn Abbas RA mentafsirkan
ayat ini, bahawa pembaziran itu bermaksud perbelanjaan atau mengunakan harta
benda bukan pada tempatnya yang sebenar. Begitu juga dengan pandangan Imam
Syafie bahawa pembaziran itu ialah membelanjakan harta benda bukan pada
jalannya.
Dalam
Islam, hutang merupakan suatu amanah besar yang wajib dilunaskan, ia bagi
memenuhi tuntutan dan menjamin hak sesama manusia. Kegagalan menyempurnakan
hutang bermakna menafikan hak sesama manusia yang pastinya mengundang kemurkaan
Allah SWT.
Berdasarkan kepada maksud ayat 23 hingga 39 surah Al-Isra',
jika seseorang tidak membayar hutang, tiba-tiba ia meninggal dunia maka langit
dan bumi tidak akan menerima rohnya walaupun roh itu milik seorang yang
berjihad.
Sabda Rasulullah SAW:
Bermaksud: “Kurangkanlah dirimu daripada melakukan dosa, maka akan
mudahlah bagimu ketika hendak mati. Kurangkanlah dirimu daripada berhutang
nescaya kamu akan hidup bebas”.(Riwayat
al-Baihaqi)
Amalan berhutang tidak sepatutnya dijadikan
budaya dalam masyarakat kerana akan timbul banyak keburukan. Apa yang jelas, pengurusan wang secara bijak memberi
kesinambungan hidup kita bagi tujuan hayatan tayyibah (kehidupan yang
baik) serta bebas dari cengkaman hutang. Langkah mengurus kewangan secara
berkesan dapat membimbing kita ke arah matlamat yang diidamkan dan membuktikan
penghargaan kita terhadap sumber kewangan yang sedia ada selain menjamin
keselamatan diri daripada kefakiran dan kekufuran. Saya ingin menegaskan
bahawa agama Islam telah menetapkan beberapa peringkat keperluan bagi umatnya: Pertama
al-Dharuriat iaitu keperluan yang mendesak, Kedua: al-Hajiaat
iaitu keperluan yang dihajati, Ketiga: al-Thasiniat iaitu
keperluan yang lebih baik dan yang keempat: al-Kamaliat iaitu
keperluan yang lebih lengkap. Namun begitu, dalam mengurus kehidupan kita,
Islam mewajibkan kita mengatur perbelanjaan kepada perkara-perkara asas dan
keperluan yang benar-benar mendesak iaitu al-Dharuriat seperti makanan
dan minuman, tempat tinggal, pakaian dan pelajaran.
Sikap suka berhutang memberi
petunjuk bahawa masih ada segelintir yang gagal mengawal keinginan nafsu
dalam urusan kewangan. Allah SWT pernah mengingatkan kita tentang kitaran hidup, ada masa kita senang dan
ada masanya kita susah. Apabila kita dalam keadaan senang, kita diminta
berjimat cermat dan mengingati keadaan golongan yang kurang dari kita. Sebagai
umat Islam kita dituntut agar mesyukuri segala pemberian dari Allah SWT. Kita
hendaklah mengurus segala perbelanjaan untuk keperluan hidup dengan
sebaik-baiknya setiap masa. Sekiranya kita mengabaikan perkara tersebut
dikhuatiri kesan daripada kelalaian kita menguruskan perbelanjaan hidup boleh
menyebabkan kita meninggalkan generasi yang mundur di kemudian hari serta
menyebabkan negara kita berada dalam mundur dan terkebelakang.
Malahan dengan
mengamalkan sikap berjimat cermat ia akan menjadikan kehidupan masa hadapan lebih
terjamin. Kita juga akan terselamat dari muflis akibah hutang dan berbelanja
berlebihan menurut hawa nafsu serta kita juga akan mempunyai simpanan yang
dapat menjamin hidup kita disaat menghadapi kesusahan. Mengakhiri khutbah pada
minggu ini marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah
al-Furqaan ayat 67:
Maksudnya: “Dan mereka yang apabila membelanjakan
hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan perbelanjaan
mereka adalah betul sederhana ”.