Headlines

Makluman Dana Kijang Emas KMKJ 2010/11

Posted by Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan | Sunday, December 26, 2010 | Posted in


Bismillahirrahmanirrahim.
 
Assalamualaikum wbt.

KMKJ dengan sukacitanya  membuka peluang kepada ahli KMKJ untuk memohon dan meminjam kewangan dari DANA KIJANG EMAS untuk sesi pembelajaran semester kedua sesi 11/12.

Permohonan ini bermula dari hari ini  18 Disember 2010 – 06 Januari 2011 dan terbuka kepada  6 pemohon terpilih sahaja yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.


SYARAT AM PENERIMA/PEMINJAM DANA
              Ahli rasmi KMKJ.
              Benar-benar memerlukan bantuan kewangan.
              Latar belakang ekonomi keluarga berpendapatan rendah.
              Memenuhi syarat yang ditetapkan dalam Borang Permohonan Dana


JENIS-JENIS PERMOHONAN
     1)  Dermasiswa :penerima tidak perlu membayar balik keseluruhan wang yang diterima

Syarat khas:
i. Mengalami masalah kewangan dari segi :
 -Yuran pengajian
- Buku-buku akademik
- tidak mendapat sebarang bantuan pinjaman atau zakat
- prestasi akademik yang memuaskan
 
2) Pinjaman boleh ubah:Penentuan sama ada kadar bayaran adalah 75% ataupun 25% adalah berdasarkan status pendapatan keluarga pemohon.

Syarat khas
1. Rujuk syarat bantuan pinjaman KMKJ

3) Pinjaman penuh: keluarga pemohon berkemampuan

Syarat khas
1. Rujuk syarat bantuan pinjaman KMKJ

Sebarang permohonan melalui wakil berikut:
SYABAB:          ABDUL HADI BIN SHAMSUL BAHRIN             077 9669739               
AKHAWAT:      NOR AMALINA JAUHARI                                  0779974126


Bagi mana-mana ahli KMKJ yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Dana Kijang Emas, sila klik di sini [http://kmkjordan.blogspot.com/2010/03/dana-kijang-emas-kmkj.html]
Seterusnya, kepada ahli KMKJ yang berminat untuk menghulurkan bantuan, meringankan beban membantu sahabat seperjuangan kita pada sesi ini , pihak AJK pelaksana Dana Kijang Emas amat mengalukan sumbangan anda.

Sebarang sumbangan melalui wakil berikut:
SYABAB:
+ MUHAMMAD IZZAT SYAMEER BIN MOJD ZAID       0777231547
+ NIK ABDUL HALIM BIN SEMAN                                   0776878124
+ ABDUL HADI BIN SHAMSUL BAHRIN                          077 9669739

AKHAWAT:
+NOR AMALINA JAUHARI                                                0779974126
+MALINI BINTI HASSAN                                                   0775187239
+NORFAZLIANA BINTI MARZUKI                                   0775187239

Bagi mantiqah selain Irbid, bolehlah berhubung melalui perwakilan mantiqah masing-masing
  
“KEBAJIKAN TERJAMIN, BEBAN TERLERAI”




Ahli Lembaga Dana Kijang Emas
Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan
2010/2011

Pengurusan kewangan dari persepktif Islam

Posted by Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan | Friday, December 24, 2010 | Posted in , , , ,


PENGURUSAN dan perancangan adalah suatu yang amat mustahak dalam semua urusan kehidupan lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan kewangan. Kegagalan mengurus dan merancang sebenarnya seseorang itu mengurus dan merancang untuk kegagalan. Kegagalan merancang kewangan dengan bijak dikenal pasti antara punca mudahnya seseorang itu terperangkap dengan pelbagai masalah dalam kehidupan sebagai seorang yang bergelar mahasiswa masa kini. 

Mahasiswa yang mempunyai perancangan dalam menguruskan kewangannya akan memperoleh gambaran yang jelas tentang kedudukan kewangan terkininya, memberi hala tuju yang tepat mengenai matlamat kewangan yang ingin dicapai yang akhirnya akan membolehkan seseorang itu mencapai matlamat yang diharapkan secara lebih efektif.
 

Islam sebagai agama yang sempurna mengajar umatnya agar sentiasa mempunyai perancangan dalam menguruskan hal ehwal kehidupan mereka. Hal ini dapat dilihat menerusi al Quran dan sunnah. Antaranya firman Allah dalam surah Yusuf yang berbunyi:

Maksudnya: "Dan ia berkata lagi. Wahai anak-anakku! Janganlah kamu masuk ke Bandar dari sebuah pintu sahaja, tetapi masuklah dari beberapa buah pintu yang berlainan. Dan aku dengan nasihatku ini tidak dapat menyelamatkan kamu dari sesuatu takdir yang telah ditetapkan oleh Allah. Kuasa menetapkan sesuatu iaitu sebab dan musabab itu hanya ditetapkan oleh Allah. KepadaNYAlah aku berserah diri dan kepadaNYAlah hendaknya berserah bagi orang yang mahu berserah diri
." Surah Yusuf Ayat 67

Pengajaran daripada ayat di atas antara lain ia menyentuh tentang persoalan perancangan di mana Allah menjelaskan bahawa dalam menguruskan kehidupan jangan bergantung kepada satu pendekatan semata-mata tetapi perlulah mempelbagaikan pendekatan dan strategi. Dan setelah segala persiapan dan perancangan dilakukan maka hendaklah bertawakal kepada Allah.

Ayat 47-48 di dalam surah yang sama iaitu di dalam Surah Yusuf. Allah menegaskan pentingnya perancangan sebelum menghadapi atau melakukan sesuatu malah perlu bijak dalam menguruskan kehidupan seseorang agar tidak susah di kemudian hari.

Perancangan yang baik lebih-lebih lagi di dalam sudut kewangan bagi seseorang yang bergelar mahasiswa sangat penting sebagai salah satu wadah untuk mendekatkan diri kepadaNYA. Ia akan menjadi penerus untuk jangka masa hadapan, persediaan perlu pada masa kini untuk menjamin masa depan apabila bertukar status menjadi seorang yang sudah berumah tangga. Pabila sudah berumah tangga, perancangan dalam kewangan hendaklah semakin bersistematik dan hendaklah bijaksana dalam menguruskan harta/kewangan. Sebagaimana dalam surah al Hasyr yang berbunyi:
 
Yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNYA dan meninggalkan laranganNYA) dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amalannya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan) bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuannNYA akan segala yang kamu kerjakan. Surah Al Hasyr Ayat 18

Ayat ini cukup jelas menyentuh tentang kepentingan perancangan dalam kehidupan, kerana masa depan bergantung kepada perancangan yang yang di rancang oleh kita pada hari ini selain daripada ketentuan Allah Ta'ala.

Harta dalam Islam
 

Dalam Islam mengurus dan membelanjakan harta adalah antara amanah Allah. Ia adalah satu keperluan yang bertujuan mencapai kehidupan yang diberkati. Perspektif yang tepat terhadap harta akan memastikan seseorang itu mencapai bahagia di dunia dan di akhirat menerusi hartanya.

Harta mempunyai kedudukan yang sangat mulia di sisi Islam. Islam menggalakkan umatnya memiliki, menghasil dan menggunakan harta dengan baik dan bijaksana.

Dari kaca mata Islam, harta adalah alat untuk menjamin keselesaan hidup manusia di dunia dan kebahagiaan di akhirat. Ia juga merupakan wasilah untuk mencapai takwa. Allah juga menganugerahkan harta kepada manusia untuk menguji manusia itu sama ada bersyukur atau sebaliknya sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah dalam surah al-Munafiqun ayat 9.

Di samping mengajar manusia agar mempunyai perspektif yang jelas terhadap harta, Islam juga mengajar manusia agar mempunyai pandangan yang betul terhadap kehidupan. Hal ini penting bagi memastikan kehidupan mereka bermatlamat dan arah tuju yang jelas.
 

Islam menggariskan agar umat manusia berusaha bersungguh-sungguh untuk membangun dan membina kehidupan yang bahagia dan harmoni. Ini dijelaskan dalam surah Hud ayat 61.
 

Islam juga menyeru agar menjadikan kehidupan ini dapat memberi manfaat kepada orang lain sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sebaik-baik kamu adalah yang paling banyak memberi manfaat".

Di dalam ajaran Islam, dunia adalah tempat sementara yang hanya sebagai jambatan untuk ke akhirat, dunia sebagai tempat bercucuk tanam dan akhiratlah tempat untuk menuainya. Walaupun dunia bersifat sementara, Islam dengan pelbagai kaedah dan pendekatan mengajar umat manusia supaya mempunyai status sosial dan ekonomi yang baik.

Oleh itu, Islam memerintahkan supaya harta dan kehidupan diuruskan dengan baik dan bijaksana. Jika sebaliknya ia akan menjadi faktor keruntuhan manusia dan kemurkaan Allah seperti dalam surah Saba' ayat 15 - 16 dan surah al-Nisaa' ayat 10 dan 161.

Pengurusan kewangan Islam

Pengurusan kewangan yang bijak itu adalah yang dapat mengimbangi perbelanjaan dan pengurusan perbelanjaan kita di dalam kehidupan seorang yang bergelar mahasiswa untuk mendapat keberkatan daripadaNYA. Perlu diingatkan bahawa merancang dan mengurus ini merupakan sunnah.
 

Secara lebih mendalam, perancangan kewangan itu merujuk kepada 'Perancang Kewangan' sebagai "seseorang yang membuat analisis kedudukan kewangan individu lain dan mencadangkan perancangan pelan kewangan agar individu berkenaan mencapai matlamat dan objektif kewangannya." (Suruhanjaya Sekuriti).
 

Secara ringkas, perancangan kewangan Islam itu ialah "satu proses di mana matlamat kewangan keseluruhan individu digunakan untuk membangun dan melaksanakan pelan yang holistik untuk mencapai matlamatnya yang mematuhi syariah dan akhirnya mendapat keberkatan daripada Allah" (Mahadzir Ahmad, majalah VISI, Bilangan 95)

Perancangan kewangan yang didasarkan kepada Islam matlamat akhirnya menjadikan aspek kewangan sebagai satu wasilah mencapai hasanah di dunia dan di akhirat. Justeru, untuk memastikan matlamat ini dapat dicapai maka pelan perancangan perlu mengambil kira perbelanjaan untuk kemaslahatan sendiri seperti keperluan jasmani dan rohani. Perbelanjaan untuk kemaslahatan orang lain seperti nafkah, sedekah ikhlas kepada Allah Ta'ala dan juga perbelanjaan untuk kemaslahatan umum juga..

Secara umumnya, ada dua aspek utama yang dititikberatkan oleh Islam dalam hal-hal yang bersangkutan dengan pengurusan kewangan kita sendiri, iaitu bagaimana ia diperolehi. Ia tidak perlu dititik beratkan kerana sumber yang kita perolehi ialah daripada sumber-sumber yang jelas.

Aspek kedua adalah bagaimana harta itu dibelanjakan, sama ada untuk kebaikan ataupun untuk perkara-perkara yang dilarang Allah. Perkara ini dapat dilihat menerusi sabda Rasulullah Sallau Alaihi Wasallam yang bermaksud: "Tidak akan berganjak kedua-dua kaki anak adam pada hari kiamat sehingga ditanya tentang umurnya pada apa ia dihabiskan, tentang usia mudanya pada apa digunakan dan tentang hartanya dari mana ia diperoleh dan bagaimana ia dibelanjakan dan tentang ilmunya pada apa ia diamalkan?"

Oleh itu, aspek utama yang perlu diambil kira di dalam perancangan kewangan Islam adalah memperoleh keberkatan. Cara macamana kita membelanjakannya ke arah mendapat keredhaan kepadaNYA selaku kita seorang yang mencari ilmu.

Keberkatan

Sebagai seorang yang bergelar
Mahasiswa Islam hendaklah cuba membentuk hati kita masing-masing selain bersungguh-sungguh mencapai apa yang ditargetkan, kita juga hendaklah tidak lupa untuk bersungguh-sungguh mencari keberkatan daripadaNYA. Kalaulah kita sendiri yang sudah sedia maklum natijah apabila tidak ada keberkatan daripada kedua ibu bapa kita, apatah lagi daripada Allah Ta'ala Yang Maha Mengetahui.

Jagalah hak Allah Ta'ala nescaya Allah Ta'ala menjaga hak kita, itulah yang dapat diungkapkan untuk kita dapat mengembalikan balik keberkatan kita di dalam menguruskan kewangan kita seharian selaku seorang yang bertanggungjawab ke atas apa yang ada pada kita sekarang ini. Firman Allah Ta'ala di dalam Surahl Muhammad:
 
Yang bermaksud:"Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (Agama) Allah Ta'ala, nescaya Allah Ta'ala membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan menrguhkan tapak pendirian kamu" Surah Muhammad Ayat 7.

Sebagai penutupnya, cubalah kita memperbaharui cara kita menguruskan kewangan kita daripada kurang baik kepada lebih baik ke arah lebih bersistematik seiring untuk mencapai keberkatan daripadaNYA dan keberkatan pada ilmu yang kita sedang tuntut sekarang. Dengan pengurusan yang lebih efektif melambangkan seorang mahasiswa islam yang berpendirian selari dengan apa yang di tuntut oleh Syariat Allah Ta'ala

Disediakan oleh :
Ahmad Syakir bin Nassuruddin,
Bendahari Agung
KMKJ 2010/11

Statistik Taburan Ahli KMKJ Sesi 2010/11

Posted by Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan | Wednesday, December 22, 2010 | Posted in ,

                                       (sila Clik pada gambar untuk paparan lebih jelas)




STATISTIK TABURAN AHLI KESATUAN MAHASISWA KELANTAN JORDAN KMKJ SESI 2010/2011
STATUS AHLI/MANTIQAH
IRBID
MAFRAQ
MUTAH
AMMAN
JUMLAH
Siswarasmi
40
40
37
2
119
229
Siswirasmi
53
34
21
2
110
Siswasekutu
2
5
1
0
8
29
Siswisekutu
8
6
7
0
21
Jumlah
103
85
66
4
258

Majlis Solat Hajat Dan Ramah Mesra Badan Pengurus KMKJ

Posted by Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan | Tuesday, December 21, 2010 | Posted in

Sila Click Pada Gambar

Selamat Berpuasa Asyura dan Di Sebalik Muharram dan Asyura Itu,

Posted by Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan | Tuesday, December 14, 2010 | Posted in ,


          

Muharam adalah bulan pertama dalam islam (hijrah). Sebelum Baginda berhijrah dari mekah ke yathrib,kiraan bulan dibuat mengikut tahun Masihi.Hijrah Baginda dari sudut ukhuwah dan syiar islam itu sendiri.

         Pada asasnya,Muharam membawa maksud “diharamkan” atau “pantang” iaitu Allah melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah.Namun demikian larangan ini diutamakan setelah pembukaan Makkah(Al-Baqarah:91).Sejak pemansuhan itu,umat islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan laragan yang berkenaan.

        Satu Muharam-Khalifah Umar Al-Khatab mula membuat penetapan kiraan dalam hijrah,Sepuluh Muharam pula di namakan juga hari Asyura,Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang menegakan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilan dan kebenaran.

           Allah mengurniakan kelebihanyang banyak bagi sesiapa yang meningkatkan amalan di bulan Muharam.Antaranya berpuasa sunat.Daripada Saidatina Aisyah berkata yang bermaksud: “orang Quraisy pada zaman jahiliah  berpuasa pada hari Asyura, dan Rasulullah S.W.A. juga berpuasa pada hari Asyura,maka apabila Baginda datang ke Madinah,Baginda berpuasa pada hari itu dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa.

           Apabila di Fardhukan kewajiban puasa Ramadhan,ditinggalkan puasa pada hari Asyura,lalu Baginda bersabda “Sesiapa yang mahu berpuasa,maka dia boleh berpuasa dan jika sesiapa yang tidak mahu berpuasa,maka dia boleh tinggalkanya” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

         Daripada Hadis yang di riwayatkan itu dapat difahami bahawa puasa hari Asyura adalah perkara yang di wajibkan sebelum di Fardhukan puasa Ramadhan.Apabila di Fardhukan puasa Ramadhan pada tahun kedua Hijrah,maka kewajiban ini gugur.

         Bagaimanapun,ia digalakkan dan salah satu daripada sunnah yang sangat di tuntut,Perkara ini adalah antara kesimpulan yang disebut oleh Al-Imam Hajar Al-‘Asqalani(W 852) dan Al-Imam Muslim(W 676) ketika menghuraikan hadis mengenai puasa Asyura.

Di dalam riwayat yang lain pula oleh Qatadah.Bahawa Rasulullah SWA. ditanya mengenai puasa Asyura,lalu Baginda menjawab: “Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu.” (Riwayat At’Tarmizi)

Dari Ibn Abbas bahawa beliau pernah ditanya mengenai puasa pada hari Asyura,lalu berkata “Aku tidak pernah ketahui Rasulullah berpuasa sehari kerana mencari kelebihan di atas hari lain kecuali pada hari ini,dan Baginda tidak berpuasa sebulan kerana mencari kelebihan diatas bulan yang lain kecuali bulan ini,Iaitu RAmadhan” (Riwayat Imam Muslim).

Selain itu umat Islam juga digalakan berpuasa pada hari sebelumnya iaitu hari kesembilan Muharam.

          Dari Ibn Abbas,ketika Rasullullah berpuasa pada hari Asyura,Baginda turut mengarahkan orang ramai berpuasa,lalu meraka berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya hari ini adalah hari yang dibesarkan oleh kaum Yahudi dan Nasrani”,lalu Baginda bersabda lagi: “Sekiranya pada tahun depan,jika diizinkan Allah,kita akan berpuasa pada hari kesembilan. Maka sama-samalah kita meningkatkan ketawqann dengan berpuasa pada 9 dan 10 Muharram ini dan salam Asyura..




Badan Pengurus,
Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan
2010/11






Salam Transformasi Hijrah 1432 Seiringan Mencipta Realiti

Posted by Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan | Monday, December 6, 2010 | Posted in ,



Assalamu 'alaikum WBT, kepada Generasi Hijrah 1432.

Alhamdulillah, syukur kita kepada Allah Subhanahu Wataala, kerana dengan limpah kurnia dan izinNya, dapat kita bersama-sama sekali lagi menyambut tahun baru Hijrah. Bersempena dengan ketibaan tahun baru Hijrah 1432 kami dari barisan Badan Pengurus KMKJ mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut tahun baru kepada semua , khususnya Ahli KMKJ sekalian.

                Awal Muharam yang menandakan awal tahun Hijrah mempunyai erti yang amat besar bagi umat Islam. Hijrah Rasulullah s.a.w. dari Kota Mekah ke Madinah bukanlah satu tindakan seorang yang ingin menyelamatkan diri tetapi sebaliknya sebagai tindakan untuk menyusun strategi bagi menjamin keselamatan dan kemenangan Islam dalam jangka panjang. Dengan itu peristiwa Hijrah adalah satu peristiwa yang harus membawa banyak pengajaran kepada umat Islam dalam menghadapi berbagai cabaran hidup di dunia.

                Kalau diteliti, keseluruhan perjuangan Rasulullah s.a.w. merupakan satu gabungan tindakan yang berasaskan kepada prinsip-prinsip Islam yang tulen iaitu sentiasa berikhtiar, sabar dan tidak putus asa, dan sentiasa berserah kepada Allah Subhanahu Wataala. Hijrah Rasulullah s.a.w.

                Adalah dengan tujuan untuk mempertahankan agama Allah serta nilai-nilai murni Islam, bukan kerana takut ataupun kerana angkuh. Hijrah Rasulullah s.a.w. menandakan titik perubahan dan perkembangan tulen umat manusia. Dengan hijrah inilah lahir satu sistem hidup bermasyarakat yang sempurna, yang mengubah kekuatan umat Islam daripada satu umat yang lemah kepada satu umat yang kuat dan berkemampuan, menjadikan umat Islam yang tidak mempunyai sebarang identiti berjaya membangun sebuah masyarakat dengan sistem pemerintahan yang tersendiri yang menjamin keselamatan umat Islam serta bukan Islam.

                 Kejayaan yang dicapai oleh Rasulullah s.a.w. dalam peristiwa Hijrah ini ada hubungannya dengan perjanjian damai Hudaibiah iaitu dengan Arab Quraisy Mekah, di mana di peringkat awal terdapat bantahan-bantahan yang disuarakan oleh para sahabat, seolah-olah tidak percaya kepada pucuk pimpinan. Cara halus dan sikap tolak ansur Rasulullah s.a.w. berjaya menghasilkan keputusan yang cemerlang yang pada akhirnya menghilangkan rasa tidak puas hati di kalangan para sahabat. Penerimaan Rasulullah s.a.w.

Kepada masyarakat Islam sendiri, nilai-nilai Islam hendaklah benar-benar diikuti dan diamalkan, kerana ianya merupakan perkara wajib dan menjadi contoh kepada seluruh anggota masyarakat. Umat Islam tidak akan dihormati dan dijadikan contoh selagi umat Islam sendiri tidak sanggup menunjukkan kewibawaan agama Allah, dengan jujur dan ikhlas.

                Keagungan Islam dengan nilai-nilai murni dalam ajarannya, tidak hanya terbatas kepada keperluan akhirat sahaja tetapi merangkumi kehidupan duniawi. Di dalam Al-Quran surah Al-Qasas ayat 77, Allah Subhanahu Wataala berfirman yang bermaksud:
"Dan tuntutlah bersungguh-sungguh melalui segala kurniaan Allah kepada mu itu keselamatan di akhirat, tetapi janganlah engkau lupa habuanmu di dunia, dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi ini, sesungguhnya Allah tidak suka kepada yang berbuat kerosakan".

                Maksud firman ini adalah jelas tentang tuntutan supaya kita memberi keutamaan kepada kehidupan dunia bersama-sama dengan kehidupan di akhirat. Sesungguhnya segala bentuk kehidupan di dunia yang berlandaskan kepada kebaikan mempunyai hubungan dan menjamin ganjaran di akhirat.
 Sabda Rasulullah s.a.w.
 "Sesungguhnya Allah Subhanahu Wataala suka sesiapa daripada kamu yang menjalankan kerja dengan baik".  (Maksud kerja yang baik adalah tepat dengan kedudukan manusia sebagai khalifah Allah di dunia)

                Islam melarang sama sekali umatnya berpeluk tubuh dan hanya berdoa mengharapkan rezeki datang menggolek tanpa berusaha. Pernah pada satu ketika sekumpulan orang menemui Rasulullah s.a.w. seraya berkata: "Sesungguhnya Si Fulan berpuasa sepanjang hari dan beribadat sepanjang malam, serta memperbanyakkan ingatan kepada Allah". Maka sabda Rasulullah s.a.w.: "Siapakah di antara kamu yang menanggung makan minumnya?" Jawab mereka: "Kita semua". Sabda Rasulullah s.a.w.: "Kamu semua adalah lebih baik daripadanya".

                Dengan itu kami menggalakkan kepada  Ahli KMKJ untuk bekerjasama bersungguh-sungguh dalam menjayakan penghijrahan ahli dari sudut SYAKHSIAH, AKADEMIK dan UKHUWAH yang bersesuaian dengan nilai-nilai murni ajaran Islam. Oleh itu, bersempena dengan tibanya tahun baru Hijrah 1432 ini, sewajarnyalah kita mengubah sikap dan memperbaharui azam dengan semangat maju ke hadapan untuk menepati hikmat Hijrah Rasulullah s.a.w.

Sekain, Terima Kasih
“Perpaduan Tenaga Dan Upaya Atasai Kegemilangan Minda”

Badan Pengurus,
Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan,
Sesi 2010/11.

6 Disember 2010/ 1 Muharram 1432

Kenyataan Rasmi MPPMJ Berhubung Isu Penubuhan Organisasi Selain Persatuan-persatuan Yang Berdaftar Di Bawah JPMJ

Posted by Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan | Saturday, December 4, 2010 | Posted in

Assalamualaikum w.b.t

Kepada :
Semua Ahli
Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan

KENYATAAN RASMI MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR MALAYSIA JORDAN BERHUBUNG ISU PENUBUHAN ORGANISASI SELAIN PERSATUAN – PERSATUAN YANG BERDAFTAR DI BAWAH JABATAN PENUNTUT MALAYSIA JORDAN

1) Berhubung dengan isu di atas, pihak Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan (MPPMJ) telah mendapat laporan tentang kewujudan organisasi/badan yang tidak berdaftar di bawah Jabatan Penuntut Malaysia Jordan ( JPMJ ) dan telah menganjurkan program tanpa kebenaran MPPMJ mahupun JPMJ.

2) Sehubungan dengan itu , barisan kepimpinan MPPMJ telah bermesyuarat dengan pihak JPMJ dan mencapai kata putus bahawa tiada kebenaran diberikan untuk penubuhan badan-badan atau organisasi selain organisasi – organisasi yang telah berdaftar di bawah Jabatan Penuntut Malaysia Jordan iaitu Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan ( MPPMJ ), Persatuan-persatuan Zon (PZ) dan Badan-badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN).

3) Pihak MPPMJ berpendapat penubuhan MPPMJ, PZ dan BKAN yang berobjektifkan untuk menyatukan semua pelajar Malaysia tanpa mengira latar belakang dan menjaga kebajikan akademik, fizikal serta pembangunan rohani sudah mencukupi tanpa memerlukan penubuhan organisasi lain di Jordan.

4) Sehubungan itu, pihak MPPMJ tidak mengiktiraf kewujudan dan pergerakan organisasi yang tidak berdaftar di bawah JPMJ.

5) Oleh itu, pihak MPPMJ berharap semua ahli dapat bersatu di bawah persatuan-persatuan yang telah berdaftar dengan pihak JPMJ dan menjadikan persatuan – persatuan tersebut sebagai medan untuk menyumbang tenaga dan bakti, serta mengasah potensi yang ada.
Sekian, terima kasih.

Yang benar ;







……………………………………………………………
( MOHD AFIQ BIN MOHD SALEH )
Presiden ,
Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan,
Sesi 2010/2011

Makluman Pengurusan Zakat MAIK 2010/11

Posted by Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan | | Posted in


Assalamualiakum WBT.
Kepada ahli KMKJ sekalian, untuk makluman, bagi pengurusan permohonan Zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bagi tahun 2011 akan di gerakan bermula pada 12 Disember 2010 dan akan berakhir pada 30 Disember 2010.

Sehubungan itu bagi mendapatkan borang-borang permohonan Zakat MAIK sila ruju kepada wakil-wakil Biro Pinjaman dan Zakat (BPZ) KMKJ atau kepada Perwakilan Zon masing-masing. Keutaaman agihan dan pengurusan borang permohonan akan di beri mengikut kelayakan ahli dan mengikut status keahlian KMKJ.

Para pemohon untuk mengisi borang tersebut selengkapnya termasuk tanda tangan penjaga dan hendaklah melampirkan salinan dokumen sebagaimana yang di kehendak:

* Salinan Kad pengenalan
* Salinan Kad pengenalan penjaga
* Salinan posport pemohon
* Salinan Kad pengenalan@surat beranak tanggungan penjaga
* Salinan surat pengesahan pengajian

Sekian, Terima kasih.

Segala maklumat lanjut boleh menghubungi :

Ikhwah    : Hazmi Bin Hanipa          - 0786817129
Akhawat : Fatihah Binti Saleh      - 0776227639

“Kebajikan ahli keutamaan kami”

Biro Pinjaman dan Zakat (BPZ)
KMKJ Sesi 2010/2011


Makluman Pemilihan Borang Pemohonan YAKIN 2010/11

Posted by Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan | | Posted in


Assalmaualikum wbt

        Makluman juga sebagai peringatan  kepada ahli KMKJ yang yang memohon pinjaman Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) bagi tahun 2010/2011 yang masih tidak menyerahkan borang permohonan, anda di minta supaya untuk mengambil tindakan lanjut dengan segera.

         Maklumat yang baru kami terima dari pihak Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN), kemungkinan besar bagi pemilihan penerimaan pemohonan pinjaman akan di jalankan pada akhir bulan Disember 2010.
Sekian, Terima kasih
Sebarang maklumat dan pertanyaan sila rujuk kepada :

Ikhwah    : Hazmi Bin Hanipa         - 0786817129
Akhawat : Fatihah Binti Saleh      - 0776227639

“Kebajikan ahli keutamaan kami”

Biro Pinjaman dan Zakat (BPZ)
KMKJ Sesi 2010/2011




Ikhtibar Haji Bayangan Perjalanan Menuju Kematian

Posted by Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan | Friday, November 26, 2010 | Posted in ,


by Nik Abdul Aziz Nik Mat on Tuesday, November 9, 2010 at 12:07pm
Setiap di dunia mempunyai regunya masing-masing. Hitam regunya putih, lelaki regunya perempuan, pagi regunya petang dan siang regunya malam. Inilah hakikat yang dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran :



سُبْحَانَ الَّذِي خَلَقَ الْأَزْوَاجَ كُلَّهَا مِمَّا تُنْبِتُ الْأَرْضُ وَمِنْ أَنْفُسِهِمْ وَمِمَّا لَا يَعْلَمُونَ (36)
yang bermaksud : Maha Suci Tuhan yang Telah menciptakan pasangan-pasangan semuanya, baik dari apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan dari diri mereka maupun dari apa yang tidak mereka ketahui. (Surah Yaasin, ayat 36)

Demikian juga firman Allah SWT :وَمِنْ كُلِّ شَيْءٍ خَلَقْنَا زَوْجَيْنِ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ
Yang bermaksud : Dan segala sesuatu kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingat kebesaran Allah. (Surah al-Zariyat, ayat 49)

Kebenaran ayat ini disahkan bukan sahaja oleh Allah SWT bahkan oleh penemuan ahli sains  yang antara lain menemui proton yang berpasangan dengan elektron di dalam atom. Demikian juga dengan caj positif dan negatif di dalam arus eletrik. Semuanya membuktikan bahawa setiap apa yang ada di dunia ini ada pasangan atau regunya masing. Apa yang tidak mempunyai regu hanyalah zat Allah SWT.

Sesuai dengan kesucian zat Allah SWT sebagai Tuhan Yang Maha Esa dan tidak ada sebarang sekutu bagiNya. Justeru, sangatlah besar dosa orang-orang yang meletakkan regu kepada Allah SWT di dalam apa jua bentuk pengabdian. Inilah yang dinamakan syirik yang tidak maaf bagimu di akhirat kelak.

Firman Allah SWT :إِنَّ اللَّهَ لا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدِ افْتَرَى إِثْمًا عَظِيمًا
Yang bermaksud  : Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. barangsiapa yang mempersekutukan Allah, Maka sungguh ia Telah berbuat dosa yang besar. (An-Nisa’, ayat 48)

Jika setiap perkara mempunyai regu, maka hidup manusia juga mempunyai regu. Regunya ialah kematian. Begitu juga dunia, regunya ialah akhirat. Oleh kerana perjalanan hidup manusia ini tidak hanya terhenti di persinggahan dunia ini semata-mata  tetapi akan bersambung sehingga ke akhirat, maka menjadi kewajipan bagi manusia mempersiapkan dirinya untuk menempuhi kehidupan di akhirat.

Kita bahkan seringkali melihat bagaimana jemaah-jemaah haji mengikuti kursus-kursus yang diadakan sebagai persiapan untuk menempuhi suasana haji yang sebenar, begitu juga dengan pelajar-pelajar yang akan menempuhi peperiksaan, dilatih dengan pelbagai tuisyen dan kelas tambahan untuk menempuhi peperiksaan, maka kehidupan akhirat dan peperiksaan di padang mahsyar lebih patut lagi diadakan kursus persediaan dan kelas tuisyennya yang tersendiri.

Untuk tujuan persediaan dan penyesuaian hidup di dunia dengan apa yang akan dtempuhi oleh manusia kelak di akhirat hanya diajar oleh Islam. Semua ideologi yang lain samada di atas nama sekular, nasionalis, sosialis, komunis dan sebagainya tidak pernah mengajar manusia bagaimana untuk hidup sejahtera di akhirat. Beleklah kitab-kitab rujukan ideologi ciptaan manusia ini, pastinya tidak ditemui sepatah kalimahpun berkenaan hidup selepas mati kelak. Tidak ditemui peringatan tentang syurga atau neraka serta dosa atau pahala.

Justeru, Islam melatih penganut-penganutnya tanpa mengira bangsa apa sekalipun untuk tunduk patuh kepada Allah SWT sebagai latihan untuk menempuhi kehidupan akhirat khususnya melalui ibadah seperti solat dan haji. Ibadah solat misalnya, diperintahkan untuk terus dilaksanakan apabila kedengaran panggilan azan. Segala kerja yang sedang dilakukan perlu ditinggalkan segera untuk kesemuanya bergerak serenatak ke masjid. Ini betul-betul menepati bayangan akhirat yang diceritakan oleh Allah SWT :وَنُفِخَ فِي الصُّورِ فَإِذَا هُمْ مِنَ الْأَجْدَاثِ إِلَى رَبِّهِمْ يَنْسِلُونَ

Yang bermaksud : Dan ditiuplah sangkalala, maka tiba-tiba mereka keluar dengan segera dari kuburnya (menuju) kepada Tuhan mereka.(Surah Yasin, ayat 51)

Maha Suci Allah SWT yang telah merakamkan bayangan ini di dalam al-Quran lalu diterjemahkan di dalam ibadat solat. Ia merupakan latihan kepada semua penganut Islam untuk berdepan dengan saat yang namanya ialah akhirat. Diperintahkan bersegera untuk bersolat di masjid sekalipun berdepan dengan kesibukan kerja dan urusan yang penting, sungguh menyamai saat manusia berduyun-duyun ke padang mahsyar menyerahkan diri di hadapan Allah SWT untuk dihisab segala amalan.

Demikian juga dengan  ibadah haji, manusia diminta tinggalkan segala apa yang dimiliki bermula dari keluarga, tanah air, harta benda, saudara mara dan sebagainya hanya semata-mata untuk menyahut panggilan Allah SWT di Tanah Haram. Ini ditambah pula dengan perintah supaya memakai pakaian yang berwarna putih benar-benar menepati saat hari kematian iaitu pada saat manusia meninggalkan dunia untuk bertemu Allah SWT. Manusia perlu patuh, dan tidak ada pilihan lain kecuai terus patuh. Di dalam ibadah haji misalnya, tidak boleh dipersoalkan kewajaran ibadah seperti tawaf, sa’ie, wukuf, melontar di jamrah dan sebagainya. Tidak ada penjelasan dan rasional untuk difikirkan oleh manusia kecuali hanyalah semata-mata ia merupakan perintah Allah SWT.

Di dalam ibadah solat, manusia diminta untuk menyucikan diri terlebih dahulu untuk bertemu dengan Allah SWT. Zahir perlu disucikan daripada najis, manakala batin pula disucikan daripada hadas samada besar atau kecil serta syirik dan juga penyakit hati yang lain. Suci ini tidak disyaratkan di dalam ibadah yang lain seperti zakat dan puasa. Manakala di dalam ibadah haji, disyaratkan agar jemaah berangkat dengan harta yang bersih dan hati yang bersih. Diperintahkan bertaubat kepada Allah SWT dan bermaaf-maafan dengan semua pihak agar hati yang pergi mengadap Allah SWT ialah hati yang bersih daripada perasaan yang tidak baik terhadap pihak yang lain. Diperintahkan untuk menziarahi saudara mara sebelum bertolak ke Tanah Haram agar tali persaudaraan tidak putus dan segar dengan doa yang mengiringi pemergian.

Demikianlah perjalanan menuju kematian, jika solat dan haji disyaratkan agar suci terlebih dahulu, maka kematian dan perjalanan ke akhirat lebih-lebih lagi diperintahkan agar bersuci terlebih dahulu. Alangkah mulianya sebuah kematian jika si mati bersih dari  dosa dengan Allah SWT serta dosa dengan manusia. Sungguh bertuah si mati jika yang mengiringi dirinya ke tepat persemadian sementara menunggu untuk dibangkitkan kelak di akhirat ialah doa daripada anak-anak yang soleh dan saudara-mara jauh dan dekat. Justeru, solat dan haji ialah latihan untuk menempuhi kematian.

Kerana itulah, di dalam solat dan haji, kita diajar untuk sentiasa bertasbih, bertahmid dan bertakbir memuji Allah SWT. Kesemua bacaan yang diperintahkan ini ialah satu suntikan antibiotik terhadap jiwa kita bagi menangkis gangguan virus yang bernama syaitan.

Mengingati Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad alaihimassalam di Dalam Solat dan Haji

Dari sisi yang lain, solat dan haji ialah dua ibadat yang diperintahkan untuk kita mengingati dua nabi yang ulung iaitu Nabi Allah Ibrahim alaihissalam dan Nabi Muhammad SAW. Di dalam duduk tahiyyat ketika solat, kita menyebut nama kedua-dua nabi ini manakala di dalam ibadah haji, kita menjadikan amalan yang dimulakan oleh Nabi Ibrahim dan disahkan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai amalan haji atau manasik.

Kenapa kedua-dua nabi ini begitu dominan dalam ibadat solat dan haji? Antaranya ialah kerana sejarah kedua-duanya yang begitu unggul dengan pengorbanan di dalam melaksanakan perintah Allah SWT. Nabi Ibrahim AS pernah dihalau oleh bapanya dari rumah, dibakar hidup-hidup, diusir keluar dari tanah airnya, berpindah-randah dari satu tempat ke satu tempat untuk menyelamatkan imannya dan pelbagai lagi ujian yang menimpa, kesemuanya dilalui dengan penuh keimanan menjadikan diri baginda layak untuk menjadi ikutan oleh seluruh umat Islam.

Demikian juga Nabi Muhammad SAW yang dipulau oleh kaum Quraisy selama tiga tahun di Syi’ib Ali, tidak dibenarkan masuk ke tanah air tumpah darahnya sendiri sekembalinya dari Thaif sehingga terpaksa meminta pertolongan dari seorang musyrik bernama Mut’am bin Adi dan terpaksa keluar dari Mekah menuju ke Madinah dengan memohon pertolongan dengan Abdullah bin Uraiqit yang merupakan seorang musyrik pada masa itu. Kesemuanya merupakan sekelumit daripada episod  hidup yang dilalui oleh baginda Rasulullah SAW.

Jelas sekali, kedua-duanya merupakan contoh yang sangat baik dan praktikal untuk dijadikan ikutan di dalam hidup sebagai seorang mukmin. Alangkah lebih jauh lagi tapak-tapak kaki kita dengan jejak-jejak yang telah ditinggalkan oleh kedua-duanya!

Sekular Tidak Melatih Untuk Akhirat

Latihan untuk akhirat ini tidak wujud di dalam mana-mana ideologi sekular. Sekular hanya mengajar penganutnya untuk menjadi kaya, hebat dan berjaya di dunia sahaja tanpa mempedulikan implikasi di akhirat. Seorang penganut sekular jarang sekali terpancul keluar dari kedua-dua belah bibirnya peringatan tentang syurga, neraka, dosa dan pahala. Sekular menjadikan manusia merasakan dirinya sebagai tuhan, penguasa mutlak terhadap semua perkara yang dimiliki olehnya.Sedangkan Islam memandang manusia hanyalah penumpang di bumi Allah SWT. Apa yang dimiliki oleh manusia sebenarnya  tidak dimiliki olehnya secara mutlak, ia merupakan milik Allah SWT.

Sebagaimana seorang penumpang bas atau kapal terbang, tidak akan disebut sebagai pemilik bas atau kapal terbang kerana dia akan turun di stesen yang telah ditetapkan. Selepas meninggalkan stesen, ia tidak disebut-sebut lagi sementara bas dan kapal terbang tadi akan menerima penumpang yang lain. Demikianlah di dunia, selepas kematian, segala apa yang kononnya dimiliki akan berpindah ke tangan orang lain. Bukan setakat harta, bahkan oksigen, penglihatan, pendengaran dan kesemuanya milik Allah SWT. Inilah ajaran Islam.

Sekular tidak pernah mengingatkan manusia tentang akhirat. Tidak seperti Islam yang mengajar penganutnya menyebut berulang-ulang peringatan tentang hari kiamat di dalam solat melalui bacaan surah al-fatihah. Keperluan  terhadap kiamat ini merupakan keperluan asasi manusia untuk dibalas segala perbuatan orang-orang yang zalim di dunia serta diganjari kebaikan orang-orang yang melakukan kebaikan. Bolehkah sekular tanpa kepercayaan terhadap hari kiamat memberikan kepuasan kepada manusia? Jawabnya tidak.

Betapa ramai orang-orang yang kaya yang bakhil dan penguasa yang zalim mati dengan kekayaan dan kezalimannya tanpa dibalas terhadap perbuatannya? Begitu juga orang-orang yang melakukan kebaikan dan tidak pernah mendapat penghargaan terhadap kebaikannya sepanjang hidup, bilakah masanya dia akan mendapat ganjaran terhadap kebaikannya jika tidak di akhirat? Maka secara semulajadi, manusia inginkan akhirat agar di sana dapat dilunaskan segala kezaliman dan diganjari segala kebaikan. Inilah yang diajar oleh Islam melalui firman Allah SWT :

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَمَنْ زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ
Yang bermaksud : Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan. (Surah Ali Imran, ayat 185)

Alangkah bertuahnya dunia apabila kepercayan terhadap akhirat menjadi akidah dalam diri manusia. Tanpa polis dan undang-undang sekalipun, tidak akan berlaku jenayah kerana manusia yakin perbuatannya akan dinilai oleh Allah SWT. Tetapi tanpa kepercayaan terhadap hari kiamat, beratus ribu polis ditambah dengan hukuman yang berat sekalipun, manusia akan mencari helah dan jalan untuk melakukan jenayah.  Dengan kepercayaan terhadap hari akhirat, manusia bukan sahaja gerun untuk mencerobohi harta orang lain, bahkan untuk menguruskan hartanya sendiri pun tidak boleh menurut selera nafsunya semata-mata. Ia perlu berpandu kepada Allah SWT.

Sayangnya, mesej yang sebegini penting jarang sekali kedengaran melalui lidah pemimpin-pemimpin negara. Mesej yang membawa pengertian akidah sebegini kebiasaannya hanya diperdengarkan di masjid-masjid melalui ustaz-ustaz atau tok-tok lebai semata-mata. Alangkah baiknya jika setiap pimpinan negara samada bergelar Presiden, Perdana Menteri atau apa jua gelaran sekalipun mengambil langkah sentiasa  mengingatkan rakyat terhadap kehidupan di akhirat. Tentu sekali peringatan sebegini akan diulang-ulang pula oleh  pimpinan seterusnya samada menteri, pegawai tinggi kerajaan hinggalah ke peringkat bawah dan berakar umbi di dalam masyarakat. Tidakkah Rasulullah SAW selaku ”PM” di Madinah seringkali menyebut peringatan-peringatan seperti ini?

Jelas sekali bahawa sekular yang dibangga-banggakan ini tidak akan membawa kesejahteraan kepada hidup manusia samada di dunia apatah lagi di akhirat. Inilah matlamat perjuangan gerakan Islam khususnya di Malaysia. Perjuangan gerakan Islam bukanlah hanya untuk memenangi satu dua pilihanraya semata-mata, tetapi lebih jauh dari itu ialah untuk meruntuhkan tembok sekular dan digantikan dengan Islam.

Penutup

Akhir kata, harapan saya agar ibadah haji yang dilaksanakan oleh jemaah-jemaah haji pada tahun berjaya meningkatkan keyakinan kita terhadap hari akhirat seterusnya menjadikan kita lebih bersedia untuk menghadapi saat tersebut. Kepada mereka yang tidak mengerjakan ibadah haji, hayatilah ibadah korban yang dilakukan di tanah air dengan mengambil semangat Nabi Ibrahim AS untuk menjadi teras panduan di dalam hidup kita. Insya-allah pada tahun ini saya akan bersama-sama rombongan KDYMM  Sultan Muhammad ke-V untuk mengerjakan haji di Tanah Suci. Doakanlah agar pemergian kami mengerjakan haji pada tahun ini diberkati oleh Allah SWT dengan pemergian dan kepulangan yang aman sejahtera, Insya-Allah. Hajjun Mabrur wa Sa’yun masykur.Sekian.


YAB TUAN GURU DATO HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Pejabat Menteri Besar Kelantan.

Bertarikh : 1 Zulhijjah 1431 H / 8 November 2010 M



                                                                                              UNIT DAKWAH DAN TARBIAH  KMKJ10/11
                                                                                

Tv Kmkj

    Blog Archive