Published On:
Friday, January 4, 2013
Posted by
Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan
Warkah Jumaat Edisi4 - Mencari Kunci Keredhaan
Kesatuan
Mahasiswa Kelantan Jordan
WARKAH JUMAAT
EDISI 4
“MENCARI KUNCI
KEREDHAAN”
(04 JANUARI 2013 / 22 SAFAR 1434H)
Proses fitrah kejadian manusia tidak dapat menafikan peningkatan usia
dari hari ke hari. Sama ada suka ataupun tidak, kita seharusnya
menerima hakikat dan kenyataan bahawa setiap yang muda akan berubah menjadi tua
apabila sampai masa yang di tetapkan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam
surah al-Nahl ayat 70:
Maksudnya: “Dan Allah yang menciptakan kamu; kemudian
Ia mewafatkan kamu; dan ada pula di antara kamu yang dikembalikannya kepada
peringkat umur yang lemah sehingga menjadilah ia lupa akan sesuatu yang telah
diketahuinya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa. ”
Namun
persoalannya bukan usia yang menjadi pertaruhan kita, akan tetapi amalan dan
pengorbanan yang kita lakukan selama ini yang menjadi hasil yang harus di nilai
oleh setiap manusia lebih-lebih lagi mereka yang bergelar sebagai seorang anak.
Justeru, Islam mendidik umatnya supaya berbakti dan menghormati serta berbuat
baik kepada orang tua. Dalam erti kata mentaati mereka, menjaga adab sopan
semasa berhadapan dengan mereka, memelihara dan mencurahkan kasih sayang kepada
mereka dengan tulus dan ikhlas, malah tidak sekali-kali cuba menyakiti hati
mereka, sama ada secara langsung ataupun tidak.
Rasulullah SAW
berpesan dan mengingatkan bahawa orang yang tidak menghormati orang tua bukan
golongan muslim sebagaimana sabdanya yang bermaksud: “Bukanlah dari golongan
kami, sesiapa yang tidak menghormati orang tua kami dan tidak pula
mengasihi anak kecil kami.” (Riwayat Al-Tabrani). Sehubungan itu, sebagai seorang yang bergelar anak, kita wajib menghormati,
mentaati dan berbuat baik terhadap ibu bapa. Ini sebagai suatu penghormatan
tertinggi daripada kita dan membalas jasa ibu bapa mereka. Firman Allah SWT dalam surah al-Israa’ ayat
23-24:
Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah
melainkan kepada-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa.
Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur
tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada
keduanya sekalipun perkataan 'ah', dan janganlah engkau menengking mereka,
tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas
kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka
berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.”
Hari ini,
banyak kes penderhakaan zaman moden yang dilakukan oleh generasi muda kepada
warga tua. Ada di kalangan mereka diabaikan, dibiar melarat di jalanan, mengemis dan didera.
Malah, pernah terjadi anak menyaman orang tuanya sendiri sehingga ke mahkamah
serta sanggup membunuh disebabkan tamak kepada wang atau harta. Ramai golongan
tua yang terbiar dan tak kurang pula yang dihantar ke rumah-rumah kebajikan,
walau pada dasarnya rumah-rumah kebajikan ini hanya disediakan kepada warga tua
yang tidak mempunyai waris. Pelakuan sebegini menandakan semakin ramai
anak-anak mengabaikan tanggungjawab dan penghormatan terhadap orang tua mereka.
Situasi ini menjelaskan kepada kita bahawa kehilangan nilai murni dikalangan
generasi muda semakin meruncing dan membimbangkan bukan sahaja di negara kita
malah seluruh dunia.
Ingatlah wahai
muslimin sekalian bahawa membenci kedua ibu-bapa dan mengabaikan kasih sayang
kepada mereka akan mendatangkan kemurkaan Allah SWT dan merupakan dosa besar. Sebuah Hadith Rasulullah SAW yang bermaksud “Ada tiga jenis manusia
yang terkena laknat Allah SWT iaitu: Seorang yang membenci kedua ibu bapanya,
seseorang yang berusaha menceraikan sepasang suami isteri, kemudian setelah
isteri tersebut dicerai ia menggantikannya sebagai suaminya dan seseorang yang
berusaha agar orang-orang mukmin saling membenci dan saling mendengki antara
sesamanya dengan hasutan-hasutannya”. (Riwayat Ad Dailami)
Imam Bukhari meriwayatkan bahawa Abdullah bin Amru bin al-'As RA
bertanya Rasulullah SAW. tentang dosa besar. Sabda baginda: Antara dosa
besar ialah seorang lelaki mencerca ibu bapanya. Tanyanya lagi: Wahai
Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun ibu-bapanya?
Jawab Nabi SAW: Ya. Seorang lelaki memaki hamun bapa seorang
lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga sekiranya
seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga
akan memaki hamun ibunya.
Renungilah
kisah al-Qamah dan ibunya di zaman Rasulullah SAW yang
menjadi iktibar kepada kita semua. Seorang pemuda yang berada dalam keadaan
nazak. Malangnya, tidak mampu mengucapkan dua kalimah Syahadah, sekalipun telah
berulangkali diajar dan dituturkan di telinganya, kerana pada zaman hidupnya
banyak perlakuan durhaka yang dilakukan dan tidak mendapat keredhaan seorang
ibu.
Apalah gunanya
anak-anak berpangkat besar, berjawatan tinggi, memiliki harta yang banyak
sedangkan perbuatan harian mereka penuh dengan dosa disebabkan kedurhakaannya
kepada kedua orang tuanya. Kita harus sedar bahawa amal soleh yang banyak tidak
mencukupi untuk kita mengabaikan tanggungjawab menjaga orang tua. Pastinya hati
mereka hancur dan air mata sedih akan menitis berderai bila mereka mengenangkan
anak-anak yang di manja dari kecil bagaikan menatang minyak yang penuh, tetapi
apabila dewasa dan berjaya, mereka ditinggalkan dan diabaikan. Janganlah
kita menjadi seorang anak semasa kecil diberi susu, akan tetapi apabila
dewasa membalasnya dengan tuba.
Mengakhiri
warkah jumaat pada minggu ini, marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT
dalam surah al-Israa ayat 24:
Maksudnya: “Dan rendahkanlah dirimu kepada
keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku!
Kasihanilah mereka berdua sebagaimana
mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.”
Disediakan
oleh : Biro Pembangunan Minda & Rohani KMKJ 2012/2013