Headlines

Warkah Jumaat E7 - Ihram Simbol Kerendahan Diri Hambanya

Posted by Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan | Friday, February 1, 2013 | Posted in , ,



Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan
WARKAH JUMAAT EDISI 7

“IHRAM SIMBOL KERENDAHAN DIRI HAMBANYA” 
(1 FEBRUARI 2013 /20 RABIUL AWWAL 1434H)

Bersyukur kita kepada Allah SWT kerana memberi keistimewaan besar pada hari ini dan kita juga dapat melaksanakan ibadah di hari Jumaat yang mulia ini. Manakala bagi saudara kita di tanah suci, semoga dipermudahkan segala urusan mereka. Sesungguhnya amal ibadah yang dilakukan atas dasar jemaah, menjadi paksi kecintaan umat Islam kepada Allah SWT.

Justeru tidak hairan, perhimpunan yang diadakan pada hari ini telah menarik jutaan manusia dari tanah kelahiran dan rumah mereka untuk datang berbondong-bondong ke Makkah yang aman dan suci. Semua itu adalah bukti keimanan, ketakwaan, ketaatan, keikhlasan dan keteguhan akidah umat Islam.

Firman Allah SWT dalam surah al-Bayyinah ayat 5:

Maksudnya: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar.”

Ihram menurut syarak ialah menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang ditentukan oleh Allah SWT selama memakai ihram itu. Orang yang berihram dikehendaki bermula dari miqat iaitu tempat yang telah ditetapkan untuk memakai ihram. Selain itu syarak menetapkan warna putih sebagai pakaian rasmi bagi ihram. Hal ini tidak menyebabkan sesiapa pun berasa janggal kerana apa yang mereka lakukan adalah perkara yang serupa.
Ihram dalam konteks ibadah yang lebih menyeluruh bermaksud pantang larang yang membuktikan ketaatan seseorang hamba kepada Allah SWT. Demikian juga apabila kita mengucapkan syahadah, maka kita sebenarnya telah berihram. Bermula dari sini segala gerak geri, tuturkata dan niat hanya tertumpu kepada Allah semata-mata. Amalan ini sama juga dengan pekerjaan ihram dalam ibadat haji dan umrah atau takbiratul ihram dalam solat; ada perbuatan-perbuatan tertentu yang dilarang meskipun sebelumnya ia dibenarkan oleh syarak.

Persoalan besar timbul ialah kenapa Allah SWT meletakkan sempadan tertentu sebagai pantang larang bagi umat Islam?. Apa yang jelas, dalam kehidupan manusia kita tidak dibenarkan bebas sesuka hati. Kebebasan yang dianugerahkan oleh Allah bukanlah bersifat mutlak. Oleh itu kita dilarang minum arak, berzina, berjudi, membunuh tanpa hak, derhaka kepada ibu bapa dan sebagainya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 32:

Maksudnya: Demikianlah ajaran Allah; dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah, maka termasuklah dia orang yang bertaqwa.”

Berdasarkan ayat tadi, jelas bahawa pantang larang yang ditetapkan oleh Allah SWT sebagai panduan umat Islam. Oleh itu, tugas penting umat Islam adalah memahami dengan bijaksana hakikat haji, solat, zakat dan perintah Allah yang lain. Jangan kita menjadi sombong disebabkan banyaknya melakukan ibadah haji, solat, berpuasa dan sebagainya tetapi kita gagal menjadi umat Islam yang taat.

Ihram haji/umrah mengajar kita mematuhi peraturan dan bersikap insaf diri. Apabila kita insaf dan beramal dengan falsafah ini, maka kita telah sanggup melutut dengan kerendahan batin. Tiada lagi sifat-sifat takabbur di hadapan Allah SWT. Kita sentiasa mengawal diri kita, ahli keluarga kita dan sesama manusia untuk menentukan kecemerlangan agama Islam. Akhirnya kita bersedia menyerahkan diri di bawah tadbir Allah Yang Maha Adil seluruh jiwa raga, segenap perasaan dan semua anggota zahir bergerak ke arah pengabdian yang hakiki kepada Allah tanpa berbelah bahagi.

Hasilnya, sudah pasti seseorang hamba itu akan menjadi hamba yang mukhlis (ikhlas), soleh (baik), siddiq (dipercayai), dan sebagainya. Mereka akan memperolehi keistimewaan yang banyak sama ada di dunia dan di akhirat kelak.

Akhir kalam, ihram haji dan peraturan dalam solat memberi pengajaran bahawa pertama, mematuhi segala pantang larang Allah adalah petunjuk insan soleh yang tunduk secara mutlak kepada-Nya. Kedua, bahawa Islam mengajarkan kesamaan dan tiada perbezaan antara manusia berpangkat besar atau kecil. Dan ketiga, bersiap sedia menerima pembalasan yang lebih adil di hari akhirat.

Ø£َعُوذُ بِاللهِ Ù…ِÙ†َ الشَّيطَانِ الرَّجِيمِ
Maksudnya: “Dan tinggalkanlah dosa yang nyata dan tersembunyi. Sesungguhnya orang yang melakukan dosa, mereka akan dibalas dengan apa yang mereka telah lakukan”. (Surah al-An’aam:120)


Disediakan oleh : Biro Pembangunan Minda & Rohani KMKJ 2012/2013

Warkah Jumaat E6 - Rasulullah SAW Kekasih Allah

Posted by Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan | Friday, January 25, 2013 | Posted in , ,




Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan
WARKAH JUMAAT EDISI 6

“RASULULLAH SAW KEKASIH ALLAH”
(25 JANUARI 2013 / 13 RABIUL AWWAL 1434H)


Semalam pada 12 Rabiul Awal setiap tahun adalah hari sambutan Maulidur Rasul yang menjadi salah satu hari kebesaran Islam yang disambut meriah di seluruh dunia. Walaupun Nabi Muhammad SAW telah meninggalkan kita, namun kekasih Allah ini tetap berada di dalam sanubari dan hati umatnya sekiranya kita seorang  hamba yang beriman. Baginda SAW  telah membawa kepada kita risalah Allah dengan dua cara. Pertama, menyampaikan perintah dan panduan Allah SWT melalui wahyu Qur’ani; dan Kedua, menghidupkan wahyu-wahyu Allah dengan sempurna melalui perbuatan, perkataan dan pengakuannya atau apa yang dinamakan sebagai sunnah nabawiyah. Kemuliaan akhlak Rasulullah SAW sebagaimana yang dicerminkan di dalam al-Quran, wajib diambil tauladan secara mutlak dan di taati oleh manusia sepanjang kehidupan ini. Firman Allah SWT di dalam Surah at-Taghaabun, ayat 12:




Maksudnya:“Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasulullah; maka kalau kamu berpaling, maka sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah Allah) dengan jelas nyata.”



Bukti penegasan ‘taat kepada Rasulullah’ ini terdapat di dalam kalimah Lailahaillaah dan Muhammadur Rasulullah yang menunjukkan bahawa Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW  adalah Tuhan dan Nabi kita. Penggunaan kalimah La adalah suatu bentuk perakuan kewujudan tuhan yang dinamakan Allah dan menafikan tuhan-tuhan selain-Nya. Dengan itu, seluruh umat Islam wajib bersatu dan menolak segala bentuk atau konsep tuhan yang lain daripada Allah SWT. Ini merupakan syarat mutlak sahnya kepercayaan kita terhadap adanya Tuhan dalam Islam selain mengarah kepada meng-Esakan Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Ikhlas ayat 1-4:

 



Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang setara dengan-Nya.
 

Yakin dan percayalah, antara agenda yang diberi keutamaan dalam misi Rasulullah SAW menyebarkan Islam ialah dengan memperkasakan akidah ummah. Umat Islam diikat dengan erat melalui konsep tauhid, kiblat yang satu, kitab yang satu, pemimpin yang satu. Namun dalam pada itu, Baginda juga sentiasa diterjah dengan berbagai ancaman musuh Islam yang didalangi oleh orang-orang Yahudi untuk mengkucar-kacirkan pegangan dan fahaman umat Islam. Mereka menggunakan pelbagai pendekatan, diantaranya menggunakan isu agama sebagai alat untuk menghancurkan umat Islam. Mereka menghasut sesetengah umat Islam yang lemah imannya dan hilang intergriti untuk melanggari ajaran al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Mereka juga memperalatkan sebahagian daripada pemimpin yang beragama Islam yang dikaburi oleh keghairahan untuk mendapatkan kuasa. 


Oleh itu, tidak menghairankan ada di kalangan umat Islam pada hari ini yang mengaku beriman dengan Allah dan Rasul-Nya, tetapi pada masa sama telah mentafsir Islam mengikut hawa nafsu. Mereka sanggup melakukan tindak-tanduk mengikut kemahuan sendiri dan akhirnya perbuatan tersebut kelihatan janggal, pelik di khalayak ramai. Besarnya pengaruh nafsu dan peranan syaitan dalam kehidupan ini terbukti apabila mereka tanpa segan silu mengutamakan kepentingan diri, mengutamakan kebendaan walaupun nyata bercanggah dengan al-Quran dan sunnah.


Sedarlah, inilah masanya untuk umat Islam bersatu bagi memelihara kesucian agama Islam dan mempertahankan akidah umat Islam.


Yakinlah, di tangan kitalah letaknya tanggungjawab dan kuasa untuk mempertahankan kesucian agama Islam. Dalam hal ini, umat Islam memerlukan penghayatan Islam secara menyeluruh. Berdasarkan maqasid syariah maka menjadi tanggungjawab setiap umat Islam untuk menjaga lima perkara iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Saya  ingin mengingatkan salah satu prinsip penting yang mesti dilaksanakan oleh umat Islam bagi memastikan kedaulatan agama kekal terpelihara ialah dengan menyeru kepada kebaikan dan menghalang kemungkaran. Allah SWT berfirman di dalam surah al-Hajj ayat 41:




Yang bermaksud:Iaitu mereka yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan perkara yang mungkar. Dan ingatlah bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.


Mengakhiri warkah jumaat pada hari ini, bersempena dengan sambutan Maulidul Rasul, marilah sama sama kita menjana peningkatan dalam penghayatan dan ketaatan dalam melaksanakan ajaran yang di bawa oleh Rasulullah SAW. Marilah sama sama kita mempertahankan dengan segala upaya kemuliaan Rasulullah SAW dari sebarang penghinaan, memberikan penghormatan sewajarnya kepada Rasulullah SAW dalam tindak tanduk kita seharian dan mencontohi akhlak, keperibadian dan teladan yang ditunjukkan oleh Nabi SAW  dalam setiap tindakan.


Untuk itu sama sama kita hayati dan renung-renungkan Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran, ayat 31:


Maksudnya: Katakanlah: Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.



Disediakan oleh : Biro Pembangunan Minda & Rohani KMKJ 2012/2013


Tv Kmkj

    Blog Archive