Headlines

Memo Rasmi MPPMJ : Qoror Percutian Dalam dan Luar Negara Jordan

Posted by Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan | Wednesday, January 5, 2011 | Posted in , ,

Dengan segala hormatnya, kami merujuk perkara di atas. Demi menjaga kebajikan dan kehendak ahli, MPPMJ amat mengalu-alukan kepada semua ahli yang ingin keluar bercuti untuk menziarahi tempat-tempat menarik dan bersejarah di sekitar Negara Jordan atau negara-negara lain. Atas inisiatif itulah, kami di pihak MPPMJ cuba merancang agar percutian anda lebih selamat. Dengan kerjasama Education Malaysia Jordan (EMJ), Qoror  ini telah  disediakan sebagai langkah awal memastikan percutian anda terjamin dari pelbagai sudut, berikut adalah beberapa perkara yang perlu diambil perhatian:

1- Mahasiswa atau mahasiswi yang ingin keluar bermusafir samada dalam atau ke luar dari Negara Jordan mestilah mengisi borang safar yang telah disediakan oleh MPPMJ. (rujuk perkara 3, halaman 6, Garis Panduan Safar – Warta Disiplin MPPMJ).

2-  Agen atau travel yang hendak menganjurkan rehlah atau sebarang pakej percutian dalam Jordan atau ke luar Negara Jordan terutamanya, perlu memaklumkan dan mendaftarkan butir-butir percutian mereka kepada pihak MPPMJ untuk dimaklumkan kepada Education Malaysia Jordan (EMJ).

3- Ahli-ahli disarankan supaya mengikuti rehlah yang dianjurkan oleh agen-agen atau persatuan yang sah berdaftar sahaja. Ahli juga digalakkan untuk menyertai rehlah yang dianjurkan oleh MPPMJ.

4- Bagi mahasiswi (akhwat) yang telahpun merancang percutian mereka samada secara persendirian atau berkumpulan (bersama agen/travel tersentu) terutamanya percutian ke luar dari Negara Jordan, perlulah bersama-sama anda sepanjang percutian tersebut 2 orang mahasiswa (syabab) sebagai muroqib untuk menemani anda.

5- Disarankan juga agar ahli-ahli mendapatkan kebenaran daripada kedua ibu bapa terlebih dahulu sebelum merancang apa jua destinasi percutian.

6- Pihak MPPMJ atau EMJ tidak akan bertanggungjawab atas segala kejadian buruk yang berlaku sepanjang perjalanan percutian anda jika percutian tersebut tidak dimaklumkan (berdaftar dan mengisi borang safar) kepada MPPMJ atau EMJ, atau tidak mematuhi segala peraturan yang telah digariskan dalam Warta Disiplin MPPMJ.

7- Borang Safar boleh diperolehi melalui Presiden atau Timbalan Presiden Persatuan Zon,  AMT atau AMM MPPMJ dan agen-agen yang dilantik oleh MPPMJ.

Di kesempatan ini, kami barisan kepimpinan MPPMJ mendoakan kecemerlangan semua ahli MPPMJ menghadapi peperiksaan akhir tahun dan juga selamat perjalanan pergi dan pulang dari pemusafiran anda semua.

Sekian, terima kasih.

“Menjana Transformasi Mahasiswa Islam Global” Yang benar ;





……………………………...............
( MOHD AFIQ BIN MOHD SALEH )
Presiden ,
Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan,
Sesi 2010/2011

Sumber Rujukan

Perutusan MPPMJ Sempena Tahun Baru 2011

Posted by Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan | Sunday, January 2, 2011 | Posted in

“Dialah (Allah ) yang menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menetapkan tempat  – tempat orbitnya, agar kamu mengetahui bilangan tahun dan perhitungan.Allah tidak menciptakan demikian itu melainkan dengan benar. Dia menjelaskan tanda – tanda (kebesaranNya) kepada orang  – orang yang mengetahui”
 Mafhum surah Yunus, ayat 5.

Dari ayat di atas, apa yang dapat kita fahami ialah, dengan peredaran planet – planet ciptaan Allah, maka beredar jugalah masa sehingga kini kita menerima kedatangan tahun baru.Namun apabila ditelitikan kembali konteks ayat ini dengan lebih mendalam, dapat kita perhatikan Allah menamakan dua makhluknya yang cukup rapat dengan kita iaitu matahari dan bulan.

Sepertimana yang kita ketahui, saban tahun, kedua – dua matahari dan bulan ini akan mengalami penyusutan fungsi dan akhirnya akan menempuh satu fenomena  yang disebut sebagai ‘kematian’  yakni hari akhirat. Malah hal ini turut diakui oleh para saintis yang kini berusaha untuk meramal jangka hayat bagi bulan dan matahari. Mereka   juga memperakui bahawa kedua – dua matahari dan bulan akhirnya akan berakhir dengan satu “kematian” juga. Bukankah begitu indah Allah memberi  perumpamaan supaya kita berfikir  dengan ciptaan – ciptaanNya yang dibentangkan di depan mata kita? Bukankah kita semua juga adalah makhluk sepertimana  matahari dan bulan yang saban tahun lebih menghampiri kepada kematian?


TAHUN BARU DAN SEBUAH TEMUJANJI
Apabila menjelangnya tahun baru, kita dapat melihat cara sambutan yang pelbagai. Dari yang sejuk mata memandang hinggalah yang terasa jelik untuk memandang. Apa yang membezakan cara – cara sambutan ini adalah pemahaman penyambutnya.Di dalam Islam kita dianjurkan untuk membuat penambahbaikan pada diri hari demi hari agar dapat membentuk diri menjadi muslim yang cemerlang di dunia dan di akhirat. Hal ini kerana kita mengimani bahawa setelah berlalunya kehidupan di dunia ini, akan ada kehidupan yang menanti di akhirat kelak .Kehidupan yang menuntut bekalan amalan yang dilakukannya semasa hidup di dunia. Kematian itu merupakan sebuah temujanji kita dengan Allah  S.W.T  setelah Dia memberi  had masa kepada kita untuk bergerak bebas sebagai hambaNya di muka bumi ini, sebelum pulang menghadapNya semula.
Jadi, menjelangnya tahun baru bererti kita semakin menghabisi had masa yang diberi oleh Allah dan semakin berlari ke arah kematian. Maka, jika ini yang kita fikirkan, tentunya kita terdorong untuk memuhasabah sebaiknya apa yang telah kita lakukan dalam usia – usia yang telah berlalu untuk menjadi panduan bagi menempuh tahun yang baru. Tahun baru yang menjelang  ini akan disambut dengan corak sambutan yang penuh manfaat.Peluang masa yang masih diberikan Allah untuk meneruskan hidup akan digunakan semaksimum mungkin untuk membina bekalan –bekalan diri . Hasilnya, terbentuklah muslim yang proaktif dan tahu mencari ruang dan peluang kebaikan buat dirinya dan masyarakat.


TAHUN BARU DAN KAPASITI SEORANG PELAJAR
Dari Abu Hurairah RA, sesungguhnya Rasulullah S.A.W  bersabda: “Barang siapa menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga.” (H.R Muslim)
Sebagai muslim, azam kita dalam apa jua hal yang kita lakukan adalah Mardhatillah , iaitu mencari keredhaan Allah S.W.T.  dan menikmati janji syurgaNya . Azam ini merupakan azam yang thabat tetapi dinamik. Ia adalah thabat kerana tidak akan berubah walaupun dengan menjelangnya tahun baru atau dengan berlalunya masa tetapi ianya tetap dinamik kerana untuk mencapai azam ini, perancangan perlu dilakukan tahun  demi tahun. Dengan berada di jalan penuntut – penuntut ilmu, Allah telah menawarkan kita satu ‘shortcut‘ ke syurgaNya. Maka, giliran kita pulalah untuk  memainkan peranan untuk memastikan azam tersebut dapat dikecapi.

Dengan datangnya tahun baru ini, marilah kita bersama – sama melakukan anjakan paradigma dalam pemahaman  terhadap tugas kita sebagai penuntut ilmu.Kita perbaiki cara belajar kita dengan belajar secara bersungguh – sungguh  dan sistematik. Kita perbaiki  adab dengan para guru. Sama – sama kita menjaga  amanah, kebenaran dan kesucian ilmu. Tuntutlah ilmu dengan kesedaran bahawa dengan ilmu tersebut kita akan membangunkan ummat bukan semata – mata kerana peperiksaan.
Kita pernah mendengar kisah seorang pelacur yang memberi minum seekor anjing yang kehausan , di mana akhirnya dia dimasukkan Allah ke syurga kerana keikhlasannya melepaskan sang anjing dari masalah yang menimpanya. Maka apakah tidak mungkin untuk kita menjejak syurga Allah setelah kita menolong seorang manusia dengan penuh ikhlas? Seorang doktor dengan penuh ikhlas membantu pesakitnya yang mempunyai masalah kesihatan. Seorang ustaz atau ustazah dengan penuh ikhlas membantu pesakitnya yang mempunyai masalah kerohanian

KESIMPULAN
Jadikanlah azam – azam yang ditanam setiap tahun sebagai perancangan jangka pendek yang akan membawa kepada misi yang lebih besar iaitu keredhaan Allah S.W.T.  Islam tidak menyempitkan ruang pemikiran ummatnya.Tanamlah sebanyak mana pun azam anda, asalkan ianya tidak bertentangan dengan prinsip – prinsip Islam.Yang paling penting, keistiqamahan terhadap apa yang dipasak sebagai azam di awal tahun. Wallahu a’lam


Dikesempatan ini, kami pimpinan MPPM ingin  mengucapkan  Selamat Tahun Baru kepada semua ahli dan Selamat Maju Jaya bagi  yang sedang menempuh peperiksaan

“ MENJANA TRANSFORMASI MAHASISWA ISLAM GLOBAL “.

Yang menjalankan amanah,



………………………………………………..
(FATHIYAH BINTI IDRIS)
Timbalan Presiden 2,
Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan.
Sesi 2010/2011

Sumber rujukan

Tv Kmkj

    Blog Archive